Piala FA: Terengganu FC 1 Selangor 3

Juara lima kali, Selangor melangkah bergaya ke suku akhir Piala FA 2018 selepas berjaya menewaskan Terengganu FC 3-1 pada perlawanan pusingan ketiga di tempat lawan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kejayaan itu juga menjadikan ia langkah kanan buat pengendali sementara, Nazliazmi Nasir pada aksi sulung Selangor di bawah kendaliannya selepas ketua jurulatih, P Maniam direhatkan ekoran tiga kekalahan berturut Red Giants pada aksi Liga Super sebelum ini.

Terengganu kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagaimanapun berjaya mendahului pada minit ke-24 menerusi serangan balas pantas apabila lorongan ketua pasukan, Kipre Tchetche disudahkan oleh Shahrul Aizad Zulkifli.

Selangor tidak cemas sebaliknya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 selepas hantaran Ilham Udin Armaiyn dari sebelah kiri yang terbias kaki pertahanan Terengganu mudah ditanduk masuk Rufino Segovia di depan pintu gol tuan rumah.

Terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Selangor memulakan babak kedua dengan rentak lebih agresif bagi memburu gol pendahuluan.

Hasilnya pada minit ke-61, Evan Dimas berjaya memecah kebuntuan jaringannya bersama Selangor apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman berpunca daripada umpanan Willian Pacheco yang menanduk ke tengah bola sepakan percuma A Namathevan untuk Selangor mendahului 2-1.

Terengganu terus tertekan selepas Selangor berjaya memperoleh gol ketiga menerusi sepakan penalti Rufino pada minit ke-69 selepas pertahanan Terengganu, Fitri Omar mengasari Joseph Kalang Tie.

Biarpun tuan rumah selepas itu terus berusaha untuk bangkit merapatkan kedudukan, kecemerlangan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya Terengganu di depan pintu gol untuk memastikan kemaraan Selangor ke suku akhir.

Perlawanan suku akhir pertama dijadual pada 6 dan 7 April manakala suku akhir kedua pada 20 dan 21 April depan.

TERENGGANU FC: 29. Suffian Rahman; 4. Kamal Azizi Zabri, 24. Igor Zonjic, 17. Nasrullah Haniff Johan, 3. Fitri Omar; 10. Abdul Malik Mat Arif (16. J Partiban 52′), 7. Lee Tuck, 8. Thierry Chanhta Bin, 30. Ashari Samsudin (15. Faiz Nasir 57′), 12. Shahrul Aizad Zulkifli (11. Ismail Faruqi Ashari 63′); 23. Kipre Tchetche (C).

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 2. A Namathevan, 13. Razman Roslan (C) (23. Willian Pacheco 53′), 15. Ashmawi Yakin, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah, 4. Abdul Halim Zainal, 6. Evan Dimas (8. Saiful Ridzuwan Selamat 72′); 19. Joseph Kalang Tie( 28. Shahrul Iqwan Samsudin 78′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed