Piala FA: Selangor 4 PKNS FC 0

Juara lima kali, Selangor semakin hampir ke pentas final Piala FA 2018 selepas kali terakhir melakukannya sembilan tahun lalu apabila berjaya menewaskan PKNS FC 4-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Ledakan hatrik penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia dan gol sendiri pertahanan PKNS FC, Azmizi Azmi memastikan skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu beroleh bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 30 Jun ini.

Selepas berjaya mengikat pasukan tangga kedua, Perak 1-1 pada aksi Liga Super 2018 di stadium sama, Selasa lalu, Nazliazmi hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan Syahmi Safari dan Ilham Udin Armaiyn menggantikan tempat Evan Dimas dan Shahrul Igwan Samsudin.

Selangor berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-39 selepas tolakan D Kugan berjaya disudahkan dengan baik oleh Rufino yang melakukan pusingan badan untuk mengatasi dua pertahanan PKNS FC dan rembatannya tepat ke penjuru gawang menewaskan Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Hanya selang dua minit kemudian, Rufino yang menerima hantaran jauh menerusi satu serangan balas sekali lagi cemerlang mengatasi barisan pertahanan PKNS FC sebelum melepaskan ledakan kaki kiri menewaskan Tauffiq buat kali kedua.

Selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, Selangor terus garang menambah gol ketiga pada awal babak kedua apabila Rufino mudah menolak masuk hantaran Kugan dari sebelah kanan pada minit ke-56 bagi melengkapkan hatrik.

PKNS FC kendalian Datuk K Rajagobal terus tertekan apabila Azmizi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-64 ketika pemain pertahanan PKNS FC itu cuba menyekat hantaran Rufino dari sebelah kiri untuk gol keempat Selangor.

Kedudukan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan bekalan selesa buat Selangor menjelang aksi kedua, Sabtu depan.

Namun Selangor terlebih dahulu akan berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa ini untuk perlawanan ke-17 Liga Super 2018.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin (13. Razman Roslan 87′), 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 20. Syahmi Safari; 30. D Kugan (4. Abdul Halim Zainal 85′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (12. Azammuddin Akil 77′).

PKNS FC: 22. Tauffiq Ar Rasyid Johar; 6. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 17. Azmizi Azmi, 3. Rodney Celvin Akwensivie, 15. P Gunalan (C) (28. Mahalli Jasuli 59′); 30. Faris Ramli (5. Shahrul Azhar Ture 70′), 21. Romel Morales, 4. Daniel Ting, 19. Bruno Matos; 9. Jafri Firdaus Chew (10. Safee Sali 46′), 29. Rafael Ramazotti.

Pengadil: Suhaimi Mat Hassan