Piala FA: Selangor 1 Terengganu 3

Selangor gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala FA selepas tewas 3-1 kepada Terengganu pada perlawanan pusingan ketiga di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Biarpun Selangor mendahului menerusi tandukan Guilherme De Paula pada minit ke-21, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Vincent Bikana pada minit ke-89 untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Pada masa tambahan, Terengganu berjaya menambah dua lagi gol menerusi gol sendiri Robert Cornthwaite pada minit ke-104 dan jaringan ketua pasukan, Zairo Anuar Zalani minit ke-120 untuk mereka layak ke suku akhir bertemu Perak.

Selangor turun tanpa kapten, Shahrom Kalam dan Azmi Muslim yang masih cedera manakala pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah digantung perlawanan akibat kad merah diterimanya ketika aksi pusingan kedua bertemu Felda United.

Saingan Liga Malaysia berehat dua minggu untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa dan Selangor akan meneruskan kempen Liga Super bertemu Sime Darby FC untuk perlawanan keenam di Stadium Shah Alam, 4 April ini.

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 17. Rizal Fahmi Rosid (c), 15. Raimi Md Nor, 25. K Gurusamy (24. Fittri Shazwan Raduwan ’69), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (23. S Veenod ‘105), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’90), 13. Guilherme De Paula.

TERENGGANU: 11. Sharbinee Allawee Ramli, 18. Ahmad Nordin Alias, 13. Hasmizan Kamarodin, 5. Vincent Bikana, 16. Zubir Azmi, 25. Ismail Faruqi Ashari (22. Ashari Samsudin ’67), 7. Zairo Anuar Zalani (c), 20. Sharin Sapien (12. Hafizal Mohammad ‘110), 23. Abdul Manaf Mamat (14. Fakhrurazi Musa ’48), 8. Gustavo Lopez, 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Zamzaidi Katimin