ABK17

Piala FA: Selangor 0 Kuala Lumpur 3 (AGG 3-3, PEN 8-7)

Juara lima kali, Selangor melangkah ke separuh akhir Piala FA 2018 dengan penuh dramatik selepas berjaya mengatasi Kuala Lumpur 8-7 pada penentuan sepakan penalti biarpun tewas 3-0 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selepas menang 3-0 pada aksi suku akhir pertama di tempat lawan, juga di stadium yang sama pada 7 April lalu, Selangor kendalian Nazliazmi Nasir menanti kunjungan Kuala Lumpur malam tadi dengan sedikit pincang tanpa Amri Yahyah, Willian Pacheco dan Abdul Halim Zainal yang digantung perlawanan.

Kuala Lumpur biarpun tanpa Fabio Maciel di bangku simpanan selepas pengendali dari Brazil itu dibuang padang pada aksi pertama bagaimanapun berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-14 dan pemain import, Paulo Josue pada minit ke-45.

Gol ketiga Kuala Lumpur hasil jaringan Syazwan Andik Ishak pada minit ke-54 yang mengikat kedudukan agregat 3-3 kekal sehingga tamat 90 minit permainan, sekali gus memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Tanpa tambahan jaringan pada 30 minit masa tambahan, penentuan sepakan penalti menyaksikan setiap pasukan terpaksa mengambil sehingga sembilan sepakan sebelum Selangor akhirnya menang 8-7 selepas penjaga gol, Khairulazhan Khalid berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Kuala Lumpur.

Selepas keempat-empat sepakan awal Selangor disempurnakan Rufino Segovia, Evan Dimas, Sean Eugene Selvaraj dan Azammuddin Akil tatkala Kuala Lumpur hanya menjaringkan tiga menerusi Josue, Zhafri Yahya dan Irfan Zakaria selepas sepakan kedua daripada kapten, Indra Putra Mahayuddin ditepis keluar Khairulazhan, Selangor sepatutnya boleh memenangi perlawanan dengan jaringan 5-3 tetapi sepakan kelima diambil Ilham Udin Armaiyn sekadar menggegar tiang.

Peluang itu dimanfaatkan Kuala Lumpur untuk kembali mengikat kedudukan 4-4 selepas Hafiz Johar berjaya menyempurnakan sepakan kelima.

Selangor selepas itu berjaya menyudahkan sepakan keenam hingga kesembilan menerusi A Namathevan, K Kannan, K Sarkunan dan Amirul Ashraf Ariffin tetapi Kuala Lumpur hanya menyempurnakan tiga sepakan menerusi Syazwan Andik, Bobirjon Akbarov dan Zaquan Adha tatkala sepakan kesembilan diambil Firdaus Faudzi berjaya dihadang kemas Khairulazhan pada detik jam 11.57 malam.

PKNS FC menanti Selangor pada separuh akhir nanti selepas skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu mara dengan agregat 4-3 apabila mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak di Ipoh, malam tadi.

Perlawanan separuh akhir secara timbal balik dijadual berlangsung pada Jun depan dengan satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan naib juara musim lalu, Pahang dan PKNP FC selepas masing-masing berjaya menyingkirkan Johor Darul Ta’zim dan Felda United, kelmarin.

Kali terakhir Selangor layak ke pentas final Piala FA ialah pada tahun 2009 dengan berjaya muncul juara buat kali kelima apabila skuad yang dikendalikan K Devan ketika itu menewaskan Kelantan 4-1 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlanjutan ke masa tambahan.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 2. A Namathevan, 13. Razman Roslan (C), 5. Amirul Ashraf Ariffin, 3. K Kannan; 14. Alfonso De La Cruz Calero (16. K Sarkunan 51′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (12. Azammuddin Akil 95′), 6. Evan Dimas; 30. D Kugan (7. Sean Eugene Selvaraj 60′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

KUALA LUMPUR: 29. Khatul Anuar Jalil; 19. Firdaus Faudzi, 12. Bobirjon Akbarov, 16. Achmad Jufriyanto, 6. Syazwan Andik Ishak; 20. Zhafri Yahya, 28. Paulo Josue, 17. Irfan Zakaria; 23. Indra Putra Mahayuddin (C), 8. Zaquan Adha Abd Radzak, 11. Ashri Chuchu (27. Hafiz Johar 78′).

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab