Piala FA: PKNS FC 1 Selangor 1 (AGG 1-5)

Selepas sembilan tahun, Selangor kembali ke pentas final apabila berjaya menyingkirkan kelab senegeri, PKNS FC menerusi agregat 5-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia sekali gus peluang terbaik buat Selangor melebarkan jurang selaku pemenang terbanyak dalam sejarah Piala FA sejak diperkenalkan pada tahun 1990 selepas memenanginya sebanyak lima kali sebelum ini pada tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir mengekalkan kesebelasan sama ketika membelasah PKNS FC 4-0 pada separuh akhir pertama di Cheras, 23 Jun lalu dengan D Kugan yang tidak beraksi ketika seri 1-1 dengan Pahang pada aksi Liga Super di Kuantan, Selasa lalu kembali dalam kesebelasan menggantikan Evan Dimas.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-71 menerusi penyudah peledak utamanya, Rufino Segovia yang pantas memanfaatkan kesilapan pertahanan PKNS FC, Daniel Ting cuba menghantar bola ke arah penjaga golnya.

Namun gawang Selangor bolos juga pada minit ke-90 selepas hantaran lintang Qayyum Marjoni Sabil dari sebelah kiri yang ditanduk ke arah gawang sendiri oleh K Kannan gagal ditangkap kemas penjaga gol, Khairulazhan Khalid, sekali gus membuka ruang buat Alif Haikal Sabri mudah menolak masuk gol penyamaan PKNS FC kendalian Datuk K Rajagobal.

Lawan Selangor pada final Piala FA 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini (7 Julai 2018) hanya akan diketahui malam ini selepas berakhirnya satu lagi aksi separuh akhir kedua antara PKNP FC dan Pahang di Stadium Perak, Ipoh.

PKNS FC: 22. Tauffiq Ar Rasyid Johar; 6. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 3. Rodney Celvin Akwensivie, 8. Zack Anderson, 4. Daniel Ting; 18. M Sivakumar; 9. Jafri Firdaus Chew (23. Alif Haikal Sabri 83′), 21. Romel Morales, 10. Safee Sali (C) (12. Qayyum Marjoni Sabil 74′), 19. Bruno Matos; 29. Rafael Ramazotti (14. Khyril Muhymeen Zambri 69′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco (13. Razman Roslan 69′), 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (4. Abdul Halim Zainal 78′), 20. Syahmi Safari; 30. D Kugan (29. Azizul Baharuddin 87′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin