Piala FA: PDRM 2 Selangor 1

Selangor gagal melangkah ke suku akhir Piala FA 2016 selepas tewas 2-1 kepada PDRM pada perlawanan pusingan ketiga di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Ketinggalan menerusi jaringan Ahmad Nizam Rodzi pada minit ke-38 dan Safuwan Baharudin minit ke-58, Selangor berjaya merapatkan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-86, namun sudah terlewat untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Terdahulu Selangor turun dengan kesebelasan sama ketika menewaskan Sarawak 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Selayang, Selasa lalu kecuali penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang mengambil tempat Norazlan Razali.

Dua amaran awal diberikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu menerusi Ronaldinho, namun percubaannya pada minit ketujuh berjaya dihadang penjaga gol PDRM, Haziq Nadzli manakala tandukan penyerang import dari Liberia itu pada minit ke-13 sedikit tersasar.

PDRM yang sesekali mengasak mencemaskan benteng Selangor pada minit ke-28 tetapi mujur rembatan Ashfaq Ali berjaya ditepis oleh Khairulazhan.

Namun gawang Selangor bolos juga pada minit ke-38 apabila Ahmad Nizam Rodzi menjaringkan gol pertama PDRM selepas menyudahkan bola lorongan Ashfaq menerusi satu serangan pantas.

Pada masa kecederaan babak pertama, PDRM hampir berjaya menambah jaringan tetapi mujur Khairulazhan cemerlang menafikan tiga percubaan berturut daripada Safuwan, Ashfaq dan Abdul Latif Suhaimi untuk kedudukan 1-0 kekal ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, PDRM berjaya menambah gol kedua menerusi tandukan Safuwan selepas sepakan percuma jauh Lot Abu Hassan pada minit ke-58 untuk skuad kendalian Fauzi Pilus itu selesa mendahului 2-0.

Terdesak untuk mencari gol, Zainal membawa masuk Abdul Hadi Yahaya menggantikan S Veenod bagi memperkasa barisan depan Selangor pada minit ke-60.

Sebaliknya Ashfaq nyaris menambah gol ketiga buat PDRM, namun mujur sepakan percumanya pada minit ke-75 sekadar menggegar jaring tepi gawang Selangor.

Ronaldinho kemudian mempersiakan peluang di depan pintu gol PDRM apabila rembatan kencang dalam kotak penalti sedikit tersasar keluar pada minit ke-78.

Selangor akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-86 selepas Ronaldinho melepaskan rembatan tepat ke dalam pintu gol PDRM menewaskan Haziq.

Namun sehingga wisel penamat, Selangor gagal mendapatkan gol kedua untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan kelab Singapura, Tampines Rovers untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2016 di Stadium Selayang, Selasa ini sebelum ke Kuala Terengganu untuk aksi Liga Super bertemu Terengganu, Jumaat ini.

PDRM: 32. Haziq Nadzli, 2. K Reuben, 3. Faizal Muhammad (C), 20. Souleymane Konate, 23. Fekry Tajudin (5. Syauki Abdul Wahab 73′), 4. Ahmad Nizam Rodzi, 11. Lot Abu Hassan, 13. Abdul Latiff Suhaimi (14. Christopher Keli 90′), 19. Amir Saiful Badeli, 21. Safuwan Baharudin, 7. Ashfaq Ali.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 46′), 23. S Veenod (14. Abdul Hadi Yahaya 60′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 21. Hafiz Kamal, 25. R Gopinathan, 16. Mauro Olivi (9. Adam Nor Azlin 83′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: S Sittharajan