Piala FA: MOF FC 0 Selangor 3

Juara lima kali, Selangor tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga Piala FA 2018 selepas mudah menewaskan pasukan dari Piala FAM, MOF FC 3-0 pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selangor kendalian P Maniam mendapat bye pusingan pertama sementara MOF FC yang dibimbing Razip Ismail mara ke pusingan kedua selepas membelasah pasukan dari liga sosial, CNA FC 6-0 pada pusingan pertama.

Pada aksi malam tadi, Selangor yang bertindak sebagai pasukan pelawat turun tanpa pemain tengah import, Alfonso de la Cruz Calero kerana peraturan Piala FA menetapkan hanya empat pemain import boleh diturunkan tatkala Joseph Kalang Tie membuat penampilan sulung bersama Red Giants.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dan masih buntu pada awal babak kedua, Maniam membuat pertukaran memasukkan penyerang import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn bagi menggantikan pemain pertahanan, Fairuz Abdul Aziz pada minit ke-65.

Hasilnya pada minit ke-70, menerusi lorongan Ilham Udin dari sebelah kanan, Amri Yahyah melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol MOF FC, Zairi Hafiezi Idris untuk gol pertama Selangor.

Pada minit ke-80, MOF FC terpaksa beraksi 10 pemain selepas Daniel Ong dlayangkan kad merah kerana menggunakan tangan untuk menyelamatkan bola di depan pintu gol, sekali gus Selangor dihadiahkan sepakan penalti.

Penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gol kedua Selangor pada minit ke-82.

Ketika permainan memasuki minit terakhir pada tiga minit masa kecederaan yang diberikan pengadil, Syahmi Safari tidak melepaskan peluang terbuka di dalam kotak penalti untuk meledak gol ketiga Selangor bagi kemenangan bergaya 3-0.

Lawan Selangor untuk pusingan ketiga yang dijadual pada 16 atau 17 Mac ini akan ditentukan pada majlis undian jam 3.00 petang esok (Selasa).

Senarai 16 pasukan yang mara ke pusingan ketiga terdiri daripada 11 pasukan Liga Super – JDT, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan, Kedah, PKNS FC, Terengganu FC, Melaka, PKNP FC dan Kuala Lumpur serta lima pasukan Liga Premier – Felda United, Kuantan FA, UiTM FC, Pulau Pinang dan UKM FC.

MOF FC: 23. Zairi Hafiezi Idris; 9. Gan Jay Han (8. Azmirul Azmi 71′), 30. Nicholas Wee (C), 26. A Segar, 4. Norhizwan Hassan, 3. Farid Azmi; 24. Nurudin Yusof (6. Iskandar Hanapiah 73′), 7. Daniel Ong, 11. Famirul Asraf Sayuti, 19. Nurikhwan Ismail; 28. Rahimi Rahim (14. Fakhrullah Rosli 52′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C) (15. Ashmawi Yakin 83′), 23. Willian Pacheco, 26. Fairuz Abdul Aziz (18. Ilham Udin Armaiyn 65′); 2. A Namathevan, 4. Abdul Halim Zainal, 6. Evan Dimas, 20. Syahmi Safari; 19. Joseph Kalang Tie (30. D Kugan 77′), 10. Rufino Segovia, 17. Amri Yahyah.

Pengadil: Mat Zan Abd Wahab