ABK17

Piala FA: Kuala Lumpur 0 Selangor 3

Juara lima kali, Selangor berjaya membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi kedua di gelanggang sendiri selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Aksi rasmi sulung Selangor di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Nazliazmi Nasir yang dinaikkan pangkat selepas menjadi pengendali sementara menggantikan P Maniam ketika menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi pusingan ketiga pada 16 Mac lalu menyaksikan tuan rumah, Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula dari minit ke-26.

Selangor yang turun tanpa kapten, Razman Roslan dan pemain sayap, Joseph Kalang Tie yang masih mengalami kecederaan terpaksa melakukan pertukaran pertama seawal minit kesembilan selepas Syahmi Safari mengalami kecederaan lutut akibat diterjah pemain pertahanan kiri Kuala Lumpur, Syazwan Andik Ishak.

Namun ia tidak menjejaskan corak permainan Selangor yang akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-20 selepas sepakan percuma ketua pasukan, Amri Yahyah dari sebelah kanan berjaya ditanduk masuk pemain pertahanan import, Willian Pacheco yang melonjak tinggi menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Belum pun sempat Kuala Lumpur kendalian Fabio Maciel memperkemas corak permainan mereka, Selangor terus garang dengan memperoleh gol kedua, kali ini lambungan Amri dari tengah berjaya disudahkan dengan baik penyerang import, Rufino Segovia untuk pelawat selesa mendahului 2-0.
Kuala Lumpur terus tertekan apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas penyerang import, Guilherme De Paula dilayangkan kad merah pada minit ke-26 akibat tindakannya yang bertindak balas menumbuk Abdul Halim Zainal selepas pemain tengah Selangor itu menjatuhkannya.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk penjaga gol muda, Khatul Anuar Jalil menggantikan Kamarul Effandi yang dilihat beraksi di bawah prestasi sebenar.

Tindakan itu nyata memberi impak positif buat Kuala Lumpur apabila Khatul Anuar cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Evan Dimas pada awal babak kedua disusuli hadangan kemasnya menghalang percubaan Rufino di depan pintu gol ketika keadaan kelam kabut.

Kuala Lumpur sesekali mencemaskan pintu gol Selangor yang dikawal Norazlan Razali, namun ancaman daripada Paulo Josue dan Junior Aparecido nyata kurang menyengat tanpa kelibat De Paula.

Selangor akhirnya berjaya menutup perlawanan dengan gol ketiga pada masa kecederaan selepas hantaran jauh K Kannan dari sebelah kiri yang cuba dicabar Khatul Anuar bersama Amri di luar kotak penalti menyaksikan penjaga gol gantian Kuala Lumpur itu tertanduk bola ke belakang dan Rufino mudah menyempurnakan peluang terbuka untuk kemenangan selesa 3-0.

Aksi suku akhir kedua akan berlangsung juga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu, 21 April dengan Selangor pula akan bertindak sebagai tuan rumah.

Namun Selangor terlebih dahulu akan bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk bertemu Kedah bagi perlawanan keenam Liga Super 2018 pada Jumaat ini (13 April).

KUALA LUMPUR: 1. Kamarul Effandi Abdul Rahim (29. Khatul Anuar Jalil 46′); 19. Firdaus Faudzi, 16. Achmad Jufriyanto, 24. Hisyamudin Sha’ari, 6. Syazwan Andik Ishak; 28. Paulo Josue, 17. Irfan Zakaria, 23. Indra Putra Mahayuddin (C) (20. Zhafri Yahya 72′); 8. Zaquan Adha Abd Radzak, 10. Guilherme de Paula, 7. Junior Aparecido (11. Ashri Chuchu 72′).

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 2. A Namathevan, 23. Willian Pacheco, 15. Ashmawi Yakin, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 4. Abdul Halim Zainal (8. Saiful Ridzuwan Selamat 66′), 6. Evan Dimas; 20. Syahmi Safari (30. D Kugan 9′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (28. Shahrul Iqwan Samsudin 83′).

Pengadil: Suhaizi Shukri

error: Content is protected !!