Piala FA: Felda United 2 (2) Selangor 2 (4)

Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk akhirnya berjaya melangkah ke pusingan ketiga Piala FA menewaskan naib juara musim lalu, Felda United 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Selayang, malam tadi.

Sepakan penalti keempat Selangor yang disempurnakan pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite selepas tiga sepakan awal – Guilherme De Paula, Abdul Hadi Yahya dan K Gurusamy turut menewaskan penjaga gol Felda United, Farizal Harun – memastikan kemenangan Selangor untuk bertemu Terengganu di pusingan ketiga.

Bagi Felda United pula, hanya sepakan pertama dan ketiga berjaya disudahkan Bojan Miladinovic dan Shahrulnizam Mustapa manakala sepakan ketiga diambil Ndumba Makeche terkena tiang dan sepakan keempat oleh Edward Junior Wilson tersasar ke sebelah kiri gawang Selangor dikawal penjaga gol gantian, Syamim Othman.

Terdahulu pada masa sebenar permainan, Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim dilihat sudah di ambang kemenangan selepas pasukan tuan rumah itu berjaya memperoleh dua gol pantas pada awal separuh masa kedua.

Gol pertama Felda United hadir pada minit ke-47 menerusi sepakan penalti Miladinovic selepas penjaga gol utama Selangor, Norazlan Razali menjatuhkan Makeche di penjuru kiri kotak penalti Selangor.

Tiga minit berselang, Felda United terus selesa mendahului 2-0 selepas Makeche yang melepasi pertahanan Selangor berjaya melakukan rembatan kencang menewaskan Norazlan selepas menerima lorongan daripada Ahmad Syamim Yahya.

Kecewa dengan aksi Norazlan, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic terpaksa membuat keputusan drastik membawa masuk Syamim pada minit ke-64.

De Paula kemudian berjaya menggegar gawang Felda United pada minit ke-68 tetapi tandukannya itu tidak dikira gol kerana dikesan sudah berkedudukan ofsaid.

Akhirnya pada minit ke-78, Selangor berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi rembatan padu kaki kiri Ahmad Hazwan Bakri dari dalam kotak penalti Felda United.

Ketika masa permainan sebenar hanya tinggal dua minit, De Paula muncul wira Selangor apabila menanduk masuk gol penyamaan 2-2 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan selama 30 minit.

Pada masa tambahan, malang menimpa Selangor apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Andik Vermansah dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed pada minit ke-102 kerana terjahan keras ke atas pemain Felda United, Firdaus Faudzi.

Namun Selangor berjaya mengekalkan kedudukan 2-2 itu pada baki 18 minit permainan masa tambahan untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang akhirnya berpihak kepada Selangor, juara lima kali Piala FA.

Musim lalu, Felda United yang beraksi di Liga Perdana mencipta kejutan menyingkirkan juara bertahan, Kelantan di separuh akhir, namun pada aksi final mereka tewas 2-1 kepada Pahang.

Sebelum aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu di laman sendiri yang dijadual 30 atau 31 Mac ini, Selangor terlebih dahulu akan mengharungi dua aksi Liga Super bertemu PDRM di gelanggang lawan, Stadium Shah Alam, Sabtu ini dan menerima kunjungan Sarawak di Stadium Shah Alam, 14 Mac ini.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun, 19. Firdaus Faudzi, 4. Bojan Miladinovic, 12. Shukor Adan (c), 18. Aizul Ridzwan Razali, 11. Ahmad Syamim Yahya (33. Hadin Azman ’85), 8. Shahrulnizam Mustapa, 10. Zah Rahan Krangar, 23. Indra Putra Mahayuddin (3. Shahrul Saad ’74), 9. Ndumba Makeche, 22. Edward Junior Wilson.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali (1. Syamim Othman ’64), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (25. K Gurusamy ’72), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya 53), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed