Piala FA: AirAsia Allstars FC 0 Selangor 2

Selangor berjaya melangkah ke pusingan ketiga Piala FA 2016 selepas menewaskan kelab dari Piala FAM, AirAsia Allstars FC 2-0 pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, dua gol Selangor itu terhasil pada babak kedua menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-69 dan Abdul Hadi Yahaya, minit ke-77.

Terdahulu, Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan turun dengan barisan sedikit tempang tanpa Mauro Olivi, Robert Cornthwaite, Hazwan Bakri dan R Gopinathan yang masih cedera manakala Nazmi Faiz Mansor sekadar di bangku simpanan dan penjaga gol utama, Norazlan Razali pula direhatkan.

Dua amaran awal Selangor diberikan pemain tengah, Hafiz Kamal tetapi percubaan kaki kanannya pada minit ke-15 sedikit tinggi manakala sepakan percumanya pada minit ke-25 tepat dibaca penjaga gol AirAsia, Syamsuri Mustafa.

AirAsia kendalian bekas pemain Selangor, Nidzam Jamil pula mencuba pada minit ke-32, tetapi tandukan ke belakang Zamri Hassan hasil lontaran jauh Hazwan Rahman sedikit tinggi melewati palang gol Selangor dikawal Khairulazhan Khalid.

Selangor kemudian berjaya menggegar gawang AirAsia pada minit ke-33, namun ‘jaringan’ Ronaldinho Wleh dibatalkan pengadil kerana penyerang import dari Liberia itu sudah dikesan berkedudukan ofsaid.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus berusaha memburu gol dan pada minit ke-60, rembatan Abdul Hadi dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang gol AirAsia.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-69 selepas Ronaldinho Wleh mudah menanduk masuk bola hantaran lintang Andik Vermansah dari sebelah kanan untuk menewaskan Syamsuri.

Ronaldinho Wleh bagaimanapun terpaksa dikeluarkan pada minit ke-75 selepas mengalami kecederaan dan digantikan oleh pemain muda, Adam Nor Azlin.

Ia nyata tidak menghalang Selangor untuk mengesahkan kemenangan apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-77 selepas Abdul Hadi tenang menyudahkan peluang terbuka di depan pintu gol AirAsia.

Pada minit ke-85, Selangor nyaris menambah jaringan ketiga tetapi percubaan Adam Nor dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Syamsuri.

Undian pusingan ketiga Piala FA bakal diadakan jam 11 malam ini sejurus selepas berakhir baki lapan lagi perlawanan pusingan kedua, petang dan malam ini.

Skuad Selangor selepas ini akan terbang ke Bacolod, Filipina pagi esok untuk menghadapi perlawanan sulung peringkat kumpulan saingan Piala AFC 2016 bertemu Ceres FC, Selasa ini sebelum kembali untuk perlawanan ketiga Liga Super bertemu Pahang di Kuantan pada Sabtu, 27 Februari.

AIRASIA ALLSTARS FC: 1. Syamsuri Mustafa, 26. Hazwan Rahman, 27. Abdul Thaufiq Abdul Haq, 6. Fairuz Abdul Aziz (C), 8. Hafiszuan Salehuddin (17. Fadzly Iskandar Adnan 89′), 16. Shahril Izwan Abdullah, 28. Didie Arizal Ibrahim, 29. Reeshafiq Alwi, 21. Rosli Muda (13. Khairul Naim Mahyuddin 70′), 7. Zamri Morshidi, 10. Zamri Hassan (24. Faizwan Abdullah 74′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod 80′), 15. Raimi Md Nor (12. Bunyamin Umar 86′), 14. Abdul Hadi Yahaya, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (9. Adam Nor Azlin 75′).

Pengadil: Azham Musa