ABK17

Piala FA 2018: Selangor bakal hadapi MOF FC atau CNA FC

Skuad Liga Super Selangor telah diundi bertemu sama ada pasukan dari saingan Piala FAM, MOF FC atau kelab dari liga sosial, CNA FC bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA 2018 yang dijadual berlangsung pada 2 dan 3 Mac depan.

Pada majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat FMLLP di Damansara Perdana, malam tadi, Selangor bersama pasukan-pasukan Liga Super dan Liga Premier yang lain mendapat bye pusingan pertama yang membabitkan pasukan Piala FAM dan pasukan-pasukan amatur dari liga sosial.

Pusingan pertama yang akan dijalankan pada Selasa depan, 13 Februari hanya membabitkan 16 pasukan bagi memilih lapan pasukan pemenang untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Lapan pasukan berkenaan akan bersama-sama 12 pasukan Liga Super, 10 pasukan Liga Premier serta dua pasukan yang turun ke Liga FAM musim ini – Perlis dan ATM akan bersaing pada 16 perlawanan pusingan kedua.

Dua pasukan Liga Premier – JDT II dan Terengganu FC II tidak menyertai Piala FA kerana tertakluk kepada peraturan ‘feeder club’.

Seterusnya, 16 pasukan yang menang perlawanan pusingan kedua akan mara ke pusingan ketiga yang membabitkan lapan perlawanan disusuli peringkat suku akhir, separuh akhir dan final.

Undian akan sekali lagi dijalankan selepas berakhirnya perlawanan pusingan kedua bagi menentukan jadual perlawanan bagi pusingan ketiga yang dijadual pada 16 dan 17 Mac.

Suku akhir pertama dijadual pada 6 dan 7 April, suku akhir kedua pada 20 dan 21 April, separuh akhir pertama pada 23 dan 24 Jun, separuh akhir kedua pada 29 dan 30 Jun manakala final dijadual berlangsung pada 7 Julai 2018.

Sejak Piala FA diperkenalkan pada tahun 1990, Selangor telah muncul sebagai juara terbanyak kejohanan dengan lima kali menjuarainya iaitu pada tahun 1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009.

Musim lalu, Selangor kendalian P Maniam yang turut mendapat bye pusingan pertama terkandas seawal pusingan kedua selepas tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan selepas aksi 120 minit di Stadium MP Selayang berakhir seri 0-0.