Piala AFC: Sheikh Jamal Dhanmondi 3 Selangor 4

Selangor kembali menghidupkan peluang ke pusingan kedua Piala AFC 2016 selepas berjaya mencatat kemenangan sulung menewaskan kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi 4-3 pada perlawanan ketiga Kumpulan E di Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka, malam tadi.

Dua kali ketinggalan, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu akhirnya berjaya meraih tiga mata penting menerusi gol kemenangan penyerang import dari Argentina, Mauro Olivi pada minit ke-83.

Terdahulu Selangor turun tanpa dua tonggak, Hafiz Kamal yang digantung perlawanan dan Andik Vermansah yang mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super bertemu Terengganu, Jumaat lalu.

Gol pertama Sheikh Jamal Dhanmondi kendalian Shafiqul Islam Manik terhasil pada minit ke-29 apabila rembatan kencang pemain import dari Gambia, Landing Darboe dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Namun Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kemas penyerang import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh hasil hantaran lintang Olivi dari sebelah kanan pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, Selangor berjaya memperoleh gol kedua menerusi penyudah kemas R Gopinathan yang berlari pantas menyambut bola lorongan Ronaldinho dari sebelah kiri pada minit ke-53.

Namun kelekaan barisan pertahanan Selangor membolehkan Sheikh Jamal Dhanmondi mendapat dua gol pantas dalam tempoh seminit.

Gol penyamaan Sheikh Jamal Dhanmondi terhasil pada minit ke-64 menerusi tandukan penyerang import dari Nigeria, Emeka Onuoha di depan pintu gol dan seminit kemudian, tuan rumah kembali mendahului 3-2 menerusi sentuhan penyudah kemas kapten, Wedson Anselme yang berasal dari Haiti.

Selangor bagaimanapun tidak cemas dan akhirnya berjaya juga menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-70 apabila Olivi pantas menyambar masuk bola lorongan Ronaldinho dari sebelah kanan.

Olivi kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya yang juga gol kemenangan Selangor selepas sepakan kaki kanannya dari dalam kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol Sheikh Jamal Dhanmondi, Shahidul Yousuf Sohel pada minit ke-83.

Selepas tiga perlawanan, Tampines Rovers kekal di tangga teratas Kumpulan E dengan tujuh mata diikuti Ceres FC dengan lima mata selepas kedua-dua pasukan itu seri 1-1 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Selangor kekal di tangga ketiga dengan empat mata manakala Sheikh Jamal Dhanmondi di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Baki tiga aksi Kumpulan E membabitkan pasukan Selangor ialah bertemu Sheikh Jamal Dhanmondi di Stadium Shah Alam (12 April), Ceres FC di Stadium Shah Alam (26 April) dan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar (10 Mei).

SHEIKH JAMAL DHANMONDI: 1. Shahidul Yousuf Sohel, 6. Mohammad Linkon, 2. Topu Barman, 3. Kesto Kumar Bose, 4. Yeamin Munna (25. Anisurl Alam 76′), 11. Anamul Haque Sharif (26. Parvez 78′), 12. Jamal Bhuyan, 17. Sohel Rana, 10. Wedson Anselme (C), 7. Landing Darboe, 9. Emeka Onuoha.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 3. Azmi Muslim, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (9. Adam Nor Azlin 90+3′), 23. S Veenod, 10. Nazmi Faiz Mansor (8. Saiful Ridzuwan Selamat 75′), 25. R Gopinathan (14. Abdul Hadi Yahaya 73′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Nivon Robesh Gamini (Sri Lanka)