Piala AFC: Selangor 2 Sheikh Jamal Dhanmondi 1

Selangor berjaya meraih kemenangan kedua pada aksi keempat Kumpulan E saingan Piala AFC 2016 selepas menewaskan kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan membolehkan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu kekal bersaing merebut dua slot teratas ke pusingan kedua kalah mati dengan kini mengumpul tujuh mata, sama mata dengan pasukan tangga kedua, Tampines Rovers.

Kelab Filipina, Ceres La Salle FC merampas tangga teratas selepas menewaskan Tampines 2-1 di laman sendiri untuk kini mengumpul lapan mata manakala Sheikh Jamal kekal tercorot tanpa sebarang mata.

Di Selayang malam tadi, Selangor terlebih dahulu di hadapan menerusi penyudah kemas Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-16 selepas menerima lorongan Andik Vermansah dari sebelah kanan.

Namun Sheikh Jamal kendalian Shafiqul Islam Manik berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan kaki kiri Landing Darboe dalam kotak penalti pada minit ke-35 yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Terikat 1-1 pada separuh masa kedua, Selangor memulakan babak kedua dengan langkah kiri selepas pemain tengah, Hafiz Kamal dilayangkan kad merah kerana didakwa mengasari pemain lawan pada minit ke-57 untuk tuan rumah terpaksa beraksi 10 pemain.

Bagaimanapun Selangor kembali bersemangat selepas Sheikh Jamal turut terpaksa beraksi 10 pemain apabila Yeasin Khan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah pada minit ke-69.

Hasilnya Selangor berjaya juga memperoleh gol kemenangan pada minit ke-89 menerusi penyudah kemas Patrick Ronaldinho Wleh selepas menerima lorongan Adam Nor Azlin dari tengah padang.

Pada masa kecederaan, Selangor hampir menambah jaringan ketiga tetapi rembatan Andik dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol.

Selangor selepas ini akan bertemu Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 20 April ini dan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, 23 April untuk aksi Liga Super disusuli aksi kelima Piala AFC menentang Ceres FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 26 April.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah, 10. Nazmi Faiz Mansor (8. Saiful Ridzuwan Selamat 73′), 21. Hafiz Kamal, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 30′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (23. S Veenod 90+3′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

SHEIKH JAMAL DHANMONDI: 22. Maksudur Rahman Mostak, 6. Mohammad Linkon, 21. Yeasin Khan, 3. Kesto Kumar Bose, 25. Anisur Alam, 11. Anamul Haque Sharif, 2. Topu Barman, 12. Jamal Bhuyan, 10. Wedson Anselme (C), 7. Landing Darboe, 9. Emeka Onuoha.

Pengadil: Masaaki Toma (Jepun)