Piala AFC: Selangor 0 Tampines 1

Selangor tewas 1-0 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers pada perlawanan kedua Kumpulan E saingan Piala AFC 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi menerusi jaringan tunggal Fazrul Nawaz pada minit ke-26.

Dengan keputusan itu, Selangor masih belum meraih sebarang kemenangan dalam kempen Piala AFC musim ini selepas seri 2-2 dengan kelab Filipina, Ceres FC pada aksi sulung di Bacolod sebelum ini.

Terdahulu, jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan merombak kesebelasan utamanya dengan merehatkan Nazmi Faiz Mansor, R Gopinathan, S Veenod, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Razman Roslan di bangku simpanan selepas mengharungi jadual padat.

Tampines kendalian V Sundram Moorthy berjaya di depan menerusi penyudah kemas Fazrul di depan pintu gol untuk menewaskan Norazlan Razali pada minit ke-26 berpunca kesilapan pertahanan kanan, Bunyamin Umar gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bagi memburu gol penyamaan, Zainal melakukan dua pertukaran serentak sebaik babak kedua bersambung dengan memasukkan Nazmi dan Gopinathan menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat dan Abdul Hadi Yahaya yang nampak kurang berkesan sepanjang separuh masa pertama.

Hasilnya, Selangor berjaya melancarkan beberapa serangan berbahaya termasuk percubaan Andik Vermansah dalam kotak penalti pada minit ke-53 yang ditanduk keluar Irwan Shah serta beberapa percubaan daripada Ronaldinho, Mauro Olivi dan Hafiz Kamal yang sedikit tersasar.

Namun sehingga wisel penamat, Selangor gagal menembusi kekebalan benteng Tampines dan membolosi penjaga golnya, Izwan Mahbud untuk membenarkan pasukan lawan membawa pulang tiga mata penuh.

Pada satu lagi perlawanan, kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi tewas 2-0 kepada Ceres FC di laman sendiri.

Selangor selepas ini akan bertemu Terengganu di Stadium Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat ini sebelum berkunjung ke Dhaka, Bangladesh untuk berdepan Sheikh Jamal Dhanmondi pada Selasa depan.

SELANGOR: 22 . Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (10. Nazmi Faiz Mansor 46′), 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod 80′), 16. Mauro Olivi, 14. Abdul Hadi Yahaya (25. R Gopinathan 46′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

TAMPINES: 1. Izwan Mahbud, 12. Fabian Kwok (2. Ismadi Mukhtar 55′), 20. Kwon Jun (11. Shakir Hamzah 81′), 4. Mustafic Fahrudin (C), 14. Afiq Yunos, 19. Irwan Shah, 17. Jordan Webb, 13. Izzdin Shafiq (8. Shahdan Sulaiman 71′), 6. Yasir Hanapi, 16. Hafiz Sujad, 10. Fazrul Nawaz.