Piala AFC: Selangor 0 Ceres FC 0

Selangor mencatat keputusan seri 0-0 dengan kelab Filipina, Ceres FC pada aksi kelima Kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk terus menghidupkan peluang mara ke pusingan kedua kalah mati Piala AFC 2016.

Berbaki satu perlawanan, Ceres FC sudah sah ke pusingan kedua selepas mengumpul sembilan mata, diikuti Selangor dengan lapan mata manakala Tampines Rovers kekal dengan tujuh mata selepas tewas 3-2 kepada Sheikh Jamal Dhanmondi untuk tiga mata sulung buat kelab Bangladesh itu.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kini memerlukan sekurang-kurangnya seri pada aksi terakhir bertemu Tampines Rovers di Stadium Nasional, Singapura pada 10 Mei ini untuk mengiringi Ceres FC ke pusingan kedua.

Pada aksi malam tadi, malang menimpa Selangor apabila penyerang utama, Patrick Ronaldinho Wleh terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-20 selepas mengalami kecederaan dan Zainal membawa masuk pemain muda, Adam Nor Azlin.

Ceres FC beroleh peluang terbaik pada minit ke-28, namun sepakan percuma Manuel Ott berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor turut mendapat peluang pada minit ke-31 tetapi sepakan leret kaki kiri Mauro Olivi selepas gerakan solo berjaya ditepis keluar penjaga gol Ceres FC, Louie Casas.

Bersambung babak kedua, Ceres FC dua kali mencemaskan pintu gol Selangor tetapi sepakan kaki kiri Adrian Gallardo dalam kotak penalti sedikit tersasar ke kiri gawang pada minit ke-48 manakala tandukan Jason Sabio selepas sepakan sudut sedikit tinggi melewati palang pada minit ke-61.

Selangor berjaya membolosi gawang Ceres FC pada minit ke-73, namun jaringan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dibatalkan pengadil kerana sudah berkedudukan ofsaid.

Pada minit ke-78, sepakan percuma Olivi sedikit sipi ke kiri gawang Ceres FC manakala sepakan kaki kiri jauh Nazmi Faiz Mansor lima minit kemudian, juga sedikit sipi ke kiri gawang Ceres FC untuk kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (23. S Veenod 57′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (9. Adam Nor Azlin 20′).

CERES FC: 25. Louie Casas, 2. Son Yong-chan, 3. Jason Sabio, 14. Carli de Murga (21. Nate Burkey 84′), 26. Kim Sang-min (C), 8. Manuel Ott, 23. Martin Steuble, 28. Jeffrey Christiaens (69. Jalsor Soriano 87′), 29. Patrick Reichelt, 9. Adrian Gallardo, 11. Stephan Schröck.

Pengadil: Omar Mubarak Mazaroua Al Yaqoubi (Oman)