Persahabatan: Selangor 3 Pulau Pinang 1

Selangor mendapat suntikan semangat menjelang sepak mula Liga Super 2015 selepas berjaya menewaskan skuad Liga Perdana Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan persahabatan pramusim terakhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu pada sebelah petang, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengadakan pertemuan sulungnya dengan para pemain di stadium berkenaan.

Ia bagi mengumumkan pelantikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Amirudin Shari sebagai pengurus pasukan baharu skuad Liga Super Selangor musim ini dan Exco FAS, Noor Hisham Mohd Ghouth yang juga bekas Presiden PKNS FC sebagai penolong pengurus.

Pada perlawanan malam tadi, Pulau Pinang kendalian Jacksen F Tiago bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan menerusi penyudah Aznee Taib pada minit ke-12.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-25 selepas Andik Vermansah menanduk masuk bola sepakan penjuru diambil Ahmad Hazwan Bakri untuk menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Remezey Che Ros.

Gol kedua Selangor kemudian hadir pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti pemain tengah import, Leandro dos Santos sebelum penyerang import, Guilherme De Paula menambah gol ketiga pada minit ke-43.

Kedudukan 3-1 pada separuh masa itu kekal sehingga tamat perlawanan selepas kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sepanjang baki 45 minit separuh masa kedua.

“Sudah tentu sesuatu yang menarik dapat mencatat kemenangan di tempat sendiri. Ketika bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, dua minggu lalu (Selangor tewas 2-0), kami beraksi baik tetapi banyak peluang gagal disudahkan.

“Jadi malam ini (malam tadi) kami sama juga mendapat banyak peluang tetapi sekurang-kurangnya tiga gol berjaya dihasilkan. Saya gembira dengan corak permainan ditampilkan pemain dan dibantu sokongan penyokong sendiri,” kata jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic selepas perlawanan.

Ditanya mengenai kelibat De Paula yang baru berjaya menjaringkan gol sulungnya bersama Selangor, malam tadi, Durakovic berkata: “Ya, ini hanya perlawanan persahabatan. Tak penting sangat siapa yang jaringkan gol. Tapi jelas dia berusaha keras dan mungkin boleh menjaringkan dua atau tiga gol andai beberapa peluang dapat disempurnakan.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pasukan. Ini aksi pramusim, saya perlu beri semua pemain peluang beraksi. Apa pun saya yakin kami sudah bersedia untuk mengharungi kempen Liga Super musim ini.”

Selangor yang dua musim berturut-turut muncul sebagai naib juara akan membuka tirai saingan Liga Super 2015 bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, 7 Februari ini.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 4. Shahzlan Alias (20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ’71), 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah, 23. S Veenod (10. Nazmi Faiz Mansor ’54), 8. Leandro dos Santos (25. K Gurusamy ’79), 11. Ahmad Hazwan Bakri (15. Raimi Md Nor ’50), 14. Abdul Hadi Yahya (9. A Thamil Arasu ’74), 13. Guilherme De Paula (19. Afiq Azmi ’74).