Persahabatan: Pulau Pinang 2 Selangor 0

Skuad Liga Super Selangor tewas 2-0 kepada skuad Liga Perdana Pulau Pinang pada perlawanan persahabatan pra-musim 2015 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.

Kedua-dua gol Pulau Pinang dijaringkan penyerang import dari Brazil, Beto Goncalves menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 dan penyudah kemas minit ke-74.

Selangor kendalian Mehmet Durakovic hanya membawa 22 pemain pada kunjungan ke Pulau Pinang tanpa tiga pemain – Robert Cornthwaite, K Gurusamy dan S Subramaniam yang tidak cergas manakala Azmi Muslim dibawa tetapi tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan kecil dalam latihan, kelmarin.

Biarpun dikejutkan percubaan Beto seawal minit pertama yang berjaya diselamatkan penjaga gol Hamsani Ahmad, Selangor hampir membuka tirai jaringan pada minit ketiga tetapi tandukan Rizal Fahmi Rosid berpunca sepakan percuma Andik Vermansah berjaya ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang, Remezey Che Ros.

Selangor sekali lagi dihidang peluang terbaik pada minit keenam, namun kali ini rembatan jarak dekat penyerang import dari Brazil, Leandro Dos Santos sekali lagi berjaya dihadang kemas oleh Remezey.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke-22 apabila Pulau Pinang berjaya memperolehi gol pertama menerusi sepakan penalti diambil Beto selepas Hamsani menjatuhkan seorang lagi penyerang import dari Brazil, Hilton Moreira.

Lima minit kemudian, Hamsani tidak dapat meneruskan permainan kerana mengalami kecederaan dan digantikan penjaga gol kedua, Norazlan Razali.

Bersambung separuh masa kedua, Durakovic melakukan tujuh pertukaran serentak termasuk mengeluarkan kedua-dua penyerang import, Leandro dan Guilherme De Paula untuk memberi peluang kepada gandingan tempatan, Afiq Azmi dan A Thamil Arasu.

Pulau Pinang bagaimanapun hampir menambah jaringan pada minit ke-54 tetapi percubaan di depan pintu gol oleh Beto berjaya dihadang baik Norazlan untuk menyelamatkan seketika gawang Selangor.

Gol kedua Pulau Pinang akhirnya menjelma pada minit ke-74 apabila Beto yang berjaya melepasi perangkap ofsaid mudah memperdayakan Norazlan.

Kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Thamil dan pemain Pulau Pinang, Redzuan Suhaidi dilayangkan kad merah kerana terlibat dengan insiden pergaduhan.

Pulau Pinang musim ini dikendalikan jurulatih dari Brazil, Jacksen F Tiago, bekas pengendali kelab Indonesia, Persipura Jayapura.

PULAU PINANG: 28. Remezey Che Ros (29. Sani Anuar Kamsani ’79), 18. Mazlizam Mohamad (8. See Kok Luen ’69), 30. Reinaldo Lobo, 24. Darwira Sazan (45. Mat Saiful Mohamad ’79), 20. Rafiuddin Rodin, 7. Zharif Hasna (13. Faiz Subri ’51), 6. Mafry Balang (23. Yong Kuong Yong ’69), 41. Rezuan Nawi (c), 27. Lee Gil Hoon (2. Redzuan Suhaidi ’61), 9. Beto Goncalves (21. Failee Ghazli ’79), 14. Hilton Moreira.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad (22. Norazlan Razali ’27), 12. Bunyamin Umar (4. Shazlan Alias ’45) (20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ’82), 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 18. K Thanaraj (15. Raimi Md Nor ’45), 14. Abdul Hadi Yahya (24. Fittri Shazwan Raduwan ’45), 23. S Veenod (16. Saiful Ridzuwan Selamat ’45), 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah (11. Hazwan Bakri ’45), 8. Leandro Dos Santos (9. A Thamil Arasu ’45), 13. Guilherme De Paula (19. Afiq Azmi ’45).

Pengadil: Abubakar Ago (Nigeria)