ABK17

Nazliazmi: Tiga mata ini suntikan moral

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan ketujuh Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi sebagai suntikan semangat terbaik sebelum berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Selasa ini.

“Syukur alhamdulillah kita berjaya mencatat kemenangan ketiga selepas empat kekalahan berturut sebelum ini. Sebelum perlawanan lagi, saya telah mengatakan betapa pentingnya untuk kita mengutip tiga mata penuh ke atas Negeri Sembilan kerana selepas ini kita akan bertemu JDT di gelanggang lawan.

“Kita perlu merencana taktikal lebih ampuh untuk berdepan JDT nanti. Bukan takut tetapi kita kena lebih berwaspada kerana kita akan terus tidak dapat menggunakan khidmat Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn pada Selasa ini.

“Tapi saya percaya dalam bola sepak jika pemain beraksi dengan penuh keyakinan dan mengikut perancangan yang diterapkan oleh jurulatih, tidak mustahil apa pun boleh berlaku terutamanya untuk mendapatkan mata di Larkin,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Selangor biarpun tanpa Evan dan Ilham yang bersama skuad B-23 Indonesia untuk Piala Ulang Tahun PSSI di Jakarta berjaya mendahului 2-0 menerusi jaringan Rufino Segovia pada minit ke-34 dan Sean Eugene Selvaraj minit ke-56 sebelum pemain gantian, N Thanabalan merapatkan kedudukan buat Negeri Sembilan pada minit ke-64.

“Secara peribadi, memang saya akui ketiadaan Evan dan Ilham sedikit mengganggu corak permainan dan taktikal tetapi saya percaya kejayaan sesebuah pasukan bukan terletak pada satu atau dua pemain.

“Kesemua pemain yang diturunkan malam ini beraksi dengan baik biarpun terdapat sedikit kesilapan dan kelemahan. Tapi mereka berjaya bangkit dan saling membantu antara satu sama lain dan akhirnya kita berjaya memperoleh tiga mata penuh.

“Kehadiran semula Amri Yahyah, Halim Zainal dan Willian Pacheco selepas tidak beraksi ketika suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Lumpur minggu lalu ternyata telah membantu di setiap posisi kita pada malam ini.

“Sean Eugene pula, satu permulaan baik apabila dapat menjaringkan gol. Tapi saya harap dia tidak cepat berpuas hati kerana masih ada beberapa kesilapan dilakukannya. Sebagai jurulatih, saya selalu ingatkan supaya dia cuba beraksi lebih baik dari setiap perlawanan untuk meningkatkan prestasinya,” jelas Nazliazmi.