ABK17

Nazliazmi teruja persembahan Red Giants

Pengendali sementara Selangor, Nazliazmi Nasir meluahkan rasa gembira dan terujanya di atas persembahan ditunjukkan para pemain Red Giants ketika mereka menumbangkan Terengganu FC 3-1 pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

“Syukur kepada Allah kerana segala usaha dan ikhtiar yang kita buat, inilah ketentuan dari-Nya. Kredit juga kepada para pemain yang menunjukkan satu persembahan cukup baik.

“Saya sangat teruja kerana dah lama Selangor tak main seperti ini. Sebenarnya inilah permainan pasukan Selangor dan harap kesinambungan permainan malam ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Biarpun ketinggalan menerusi jaringan Shahrul Aizad Zulkifli pada minit ke-24, Selangor berjaya bangkit membalas tiga gol menerusi Rufino Segovia pada minit ke-27, Evan Dimas pada minit ke-61 dan jaringan kedua peribadi Rufino dari sepakan penalti minit ke-69 untuk memastikan skuad Red Giants mara ke suku akhir.

Ditanya adakah perubahan taktikal 4-3-3 yang diterapkannya berbanding 3-4-3 yang sebelum ini sering digunapakai ketua jurulatih yang sedang direhatkan, P Maniam sebagai punca kemenangan malam tadi, Nazliazmi berkata, ia sesuatu yang subjektif.

“Soal taktikal ini sesuatu yang subjektif sebenarnya. Saya hanya mengendalikan dua hari latihan bersama pasukan sebelum ke Kuala Terengganu. Tapi pemain dan saya sebenarnya sudah tiga bulan bersama sebelum ini.

“Apa yang penting saya terapkan ialah kerjasama sepasukan dan bukannya individu. Kita tahu Terengganu pasukan yang kuat dan cukup lengkap di semua posisi.

“Jadi kita kena buat supaya tidak membenarkan mereka untuk bermain corak permainan mereka dan saya suruh para pemain terus beri tekanan dari awal hingga hujung permainan. Inilah hasilnya,” jelas Nazliazmi.