Nazliazmi: Tanda positif untuk Sabtu ini

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap kebangkitan dipamer para pemainnya pada babak kedua ketika mengikat pasukan tangga kedua, Perak 1-1 pada perlawanan Liga Super 2018, malam tadi sebagai petanda positif menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA 2018, Sabtu ini.

“Seri adalah lebih baik daripada tewas. Tapi secara keseluruhan perlawanan, saya rasa adil untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata biarpun Selangor nampak gugup pada awal permainan dan lambat mendapat rentak.

“Separuh masa pertama, pemain seperti Evan Dimas, D Kugan dan Shahrul Igwan Samsudin tidak dapat berfungsi dengan baik seperti yang kita rancang. Barisan pertahanan Perak juga begitu padat dan apabila Rufino Segovia mendapat bola, sokongan diberikan agak lambat.

“Kemasukan Syahmi Safari pada awal babak kedua telah memberikan sedikit perubahan apabila saya mengarahkan dia supaya memberi sokongan kepada Rufino biarpun hasilnya belum nampak cukup sempurna.

“Tapi gol penyamaan daripada Amri Yahyah telah mengubah permainan untuk kita cuba pula memburu gol kemenangan tetapi percubaan demi percubaan selepas itu gagal menemui sasaran.

“Usaha pemain wajar diberi pujian dan saya nampak ada petanda positif untuk persiapan kita menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA bertemu PKNS FC, Sabtu ini,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi, Perak kendalian Mehmet Durakovic mendahului 1-0 pada minit ke-42 selepas pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero tertolak masuk ke gawang sendiri bola hantaran Nor Hakim Hassan.

Namun Amri memastikan Perak pulang dengan hanya satu mata selepas sepakan percumanya gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin pada minit ke-81.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi PKNS FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu ini, Nazliazmi berkata, berkemungkinan akan terdapat perubahan dalam barisan kesebelasan utamanya.

“Sudah tentu kita akan menggunakan taktikal yang lebih baik untuk berdepan PKNS FC, Sabtu ini kerana ia perlawanan separuh akhir. Dari segi kesebelasan utama pula, sudah tentu saya akan membariskan pemain-pemain terbaik,” jelas Nazliazmi.