Nazliazmi: Selangor berhak menang

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap corak permainan dan kesungguhan ditampil anak buahnya pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi menjadikan mereka sememangnya berhak untuk mengatasi PKNS FC 4-0.

“Kita tahu yang PKNS FC satu pasukan yang baik dengan dibarisi beberapa pemain kebangsaan dan import yang setanding dengan pasukan-pasukan Liga Super yang lain.

“Tapi cara pemain-pemain Selangor dan permainan individu yang ditampilkan malam ini menjadikan kita berhak untuk mendapatkan jaringan sebanyak ini.

“Sebelum perlawanan, saya ingatkan pemain, apa pun boleh berlaku malam ini. Menerusi pendekatan taktikal yang kita gunakan, ia berjaya dan 4-0 ini adalah ganjaran terbaik buat para pemain yang benar-benar mahukan modal untuk aksi kedua nanti,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, ledakan hatrik penyerang import, Rufino Segovia pada minit ke-39, 41 dan 56 serta bantuan gol sendiri Azmizi Azmi pada minit ke-64 memastikan Selangor umpama sebelah kaki ke pentas final yang kali terakhir berjaya dijejaki sembilan tahun lalu.

“Dua aksi bertemu PKNS FC sebelum ini, kita menang tipis dan seri. Tapi ia bukan pengukur sebenar kerana itu perlawanan liga. Jadi saya jangka satu pendekatan dan barisan berbeza bakal ditampilkan jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal malam ini.

“Saya ingatkan para pemain supaya beri bukan saja 100 peratus tetapi 150 peratus kerana ini peluang dan masa terbaik untuk kita layak ke final dan mencipta sejarah selepas kali terakhir Selangor ke final Piala FA pada tahun 2009.

“Jadi peluang sudah di depan mata dan tidak boleh dilepaskan. Saya pasti pemain semua sedar dan tahu betapa pentingnya perlawanan malam ini,” jelas Nazliazmi.

Menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu depan, Nazliazmi sedar kesilapan ketika aksi suku akhir kedua bertemu Kuala Lumpur biarpun sudah menang selesa pada aksi pertama tidak boleh diulangi sekali lagi.

“Jika kita lihat, jurang permainan antara Selangor dan PKNS FC tidak begitu jauh. Jadi saya jangka separuh akhir kedua akan lebih sengit kerana kedua-dua pasukan mahu ke final.

“Kita perlu bijak menggunakan peluang yang ada dan saya jangka peraturan gol di tempat lawan akan membantu Selangor mara ke final,” tegas Nazliazmi.

Fokus Nazliazmi bagaimanapun terpaksa dialihkan terlebih dahulu kepada aksi Liga Super 2018 bertemu Pahang di Kuantan pada Selasa ini dengan jurulatih berusia 38 tahun itu membayangkan perubahan dalam kesebelasan utamanya.

“Memang agak mencabar untuk saya mempersiapkan pasukan dalam keadaan jadual perlawanan cukup rapat seperti ini. Pahang antara pasukan teratas liga dan kita pun tak boleh membiarkan Selangor terus tercicir mata kerana kedudukan kita belum lagi selamat.

“Jadi saya akan buat sedikit perubahan dalam kesebelasan untuk berdepan Pahang bagi mengimbangi kekuatan pasukan dan juga memberikan tempoh rehat kepada pemain-pemain untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu depan,” ujar Nazliazmi.

Pada aksi malam tadi juga, Nazliazmi telah bertindak merehatkan pemain tengah import dari Indonesia, Evan Dimas memandangkan peraturan Piala FA hanya membenarkan empat pemain import diturunkan berbanding lima untuk saingan Liga Super.