ABK17

Nazliazmi: Pengalaman memisahkan Selangor & JDT

Jurulatih Selangor, Nazliazmi mengakui kekurangan pengalaman para pemain mudanya berbanding barisan berpengalaman dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pemisah ketika mereka tewas 2-0 kepada juara bertahan itu pada perlawanan kelapan Liga Super 2018, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin itu, Selangor berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama sebelum akhirnya dibolosi dua gol pada pertengahan babak kedua menerusi jaringan dua bekas pemain Selangor, Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor.

“Jika kita lihat pada separuh masa pertama, penyerang import kita, Rufino Segovia mampu untuk memberikan tekanan kepada barisan pertahanan JDT tetapi jelas beliau agak lambat menerima sokongan dari barisan tengah.

“Bagaimanapun kita mendapat beberapa peluang terbaik yang sepatutnya boleh dijelmakan sebagai jaringan tetapi pengalaman dan karakter individu dimiliki barisan pertahanan JDT menidakkan peluang tersebut.

“Saya juga tidak mahu salahkan mana-mana pemain. Saya perlu yakin dengan pemain-pemain yang saya bawa. Saya memasukkan Amirul Haziq yang baru pertama kali beraksi bagi menggantikan Namathevan yang sudah pun biasa diturunkan sebelum ini.

“Bagi saya, setiap pemain perlu bersedia dari segi mental jika diturunkan dalam berapa minit sekali pun. Tapi jelas untuk perlawanan ini, pengalaman memisahkan kita dengan JDT,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Nazliazmi turut mengakui jentera tengah Selangor malam tadi agak kurang menyengat untuk menyekat penguasaan oleh Hariss Harun, Natxo Insa dan Nazmi Faiz, lebih-lebih lagi apabila pasukannya hanya mempertaruhkan dua import ekoran ketiadaan duo dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

“Saya tiada pilihan lain kerana untuk posisi tengah kita hanya memiliki Abdul Halim Zainal dan K Sarkunan manakala Saiful Ridzuwan Selamat di bangku simpanan.

“Tetapi untuk berdepan pasukan kuat seperti JDT dengan hanya memiliki dua import, memang satu tugas yang agak mencabar. Apa pun, kita berjaya juga mengurangkan defisit gol apabila hanya tewas 2-0,” jelasnya.