Nazliazmi: Pengajaran berguna buat saya dan pemain

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap apa yang terjadi pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi sebagai pengajaran berguna kepada dirinya dan juga para pemainnya.

Biarpun Selangor menang selesa 3-0 pada aksi suku akhir pertama, Kuala Lumpur bangkit mencatat kemenangan 3-0 malam tadi untuk mengikat agregat 3-3 dan mengheret permainan ke masa tambahan sebelum akhirnya Selangor berjaya juga mara ke separuh akhir menerusi kemenangan 8-7 pada penentuan sepakan penalti.

“Kita tak boleh pandang rendah kepada mana-mana pasukan pun yang akan kita jumpa. Saya sendiri memang tak jangka perlawanan malam ini akan diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Saya agak terkejut dengan kebangkitan ditunjukkan pasukan Kuala Lumpur dan pujian kepada mereka yang memberi tekanan hebat kepada kami.

“Jadi ini satu pengajaran berguna buat saya sebagai jurulatih baharu dalam kancah bola sepak Malaysia ini dan juga kepada para pemain saya.

“Walaupun kita berbekal tiga gol di tempat lawan dan berkelebihan beraksi di tempat sendiri, ia belum menjamin untuk kita berasa selesa,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Kuala Lumpur berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-14 dan Paulo Josue pada minit ke-45 sebelum berjaya menambah gol ketiga pada awal babak kedua menerusi Syazwan Andik Ishak pada minit ke-54.

“Kita tewas 3-0 pada malam ini tetapi inilah perlawanan kalah mati apabila kita masih lagi diberi peluang kedua pada penentuan sepakan penalti dan alhamdulillah pemain berjaya memanfaatkannya dengan baik. Tahniah buat para pemain.

“Tapi pada 20 minit awal separuh masa pertama, kita banyak beri ruang kepada lawan melakukan serangan dan dua gol tersebut adalah akibat kelalaian dari barisan tengah yang tidak kemas ketika bertahan.

“Gol ketiga Kuala Lumpur telah memberikan tamparan hebat kepada saya dan pasukan tetapi selepas permainan memasuki masa tambahan, saya ingatkan para pemain yang perlawanan belum berakhir dan kita perlu fokus dan berdisiplin sehingga tamat 120 minit,” jelas Nazliazmi.

Ditanya mengenai lawan yang bakal dihadapi pada separuh akhir nanti iaitu PKNS FC, Nazliazmi berkata, Selangor perlu memperbaiki segala kelemahan bagi menyaingi lawan yang diangggap lengkap di semua posisi pada aksi timbal balik di gelanggang sendiri di Cheras dan juga aksi tempat lawan, Stadium Shah Alam pada Jun depan.

“PKNS FC ternyata pasukan yang begitu baik, lengkap di semua posisi sambil dibantu pemain import sedia ada.

“Tapi lihat apa yang berlaku malam ini, apa pun boleh terjadi dalam bola sepak dan juga perlawanan kalah mati. Jadi saya mahu peluang ini digunakan sepenuhnya kerana sudah lama Selangor tak masuk final Piala FA, kali terakhir pada 2009.

“Saya hormati PKNS FC dan jurulatih mereka, Datuk K Rajagobal. Tapi kita akan gunakan tempoh masa yang ada untuk memperkemaskan apa yang kurang dan cuba memberikan tentangan baik pada separuh akhir nanti. Lagipun sudah lama Selangor tak main di Stadium Shah Alam,” ujar Nazliazmi.