ABK17

Nazliazmi: Momentum baik menjelang Piala Malaysia

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menganggap kemenangan berturut diraih pasukannya pada dua aksi terakhir Liga Super 2018 sebagai sesuatu yang positif untuk momentum berkenaan dibawa ke kempen Piala Malaysia 2018 yang akan bermula 4 Ogos ini.

Selepas menewaskan PKNP FC 2-0 di Ipoh Khamis lalu, Selangor berjaya menamatkan kempen Liga Super 2018 di tangga kelapan selepas mengatasi Terengganu FC 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

“Alhamdulillah satu kemenangan cukup bergaya diperoleh Selangor pada perlawanan terakhir ini.

“Saya nampak, satu momentum dan kesinambungan yang baik kerana selepas ini kita akan menghadapi pula kempen Piala Malaysia. Pemain telah mempamerkan corak permainan dan taktikal yang baik serta disudahkan dengan jaringan cukup cantik.

“Kita berjaya menutup kempen liga dengan satu permainan dan keputusan yang baik biarpun menduduki tangga kelapan.

“Secara peribadi, apa yang kita lalui sepanjang liga musim ini akan memberi pengalaman berguna buat saya dan juga barisan pemain muda,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Selangor berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Terengganu FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim menerusi jaringan Syahmi Safari pada minit ke-72 dan penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia pada minit ke-90.

Namun Selangor tidak akan dapat menggunakan khidmat tiga pemain iaitu Syahmi Safari serta dua import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn untuk beberapa perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018 kerana mereka terlibat dengan temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia bermula 10 Ogos ini.

“Kemungkinan besar kesebelasan sama ketika tiga perlawanan terakhir liga bertemu Melaka, PKNP FC dan Terengganu FC ini akan saya kekalkan untuk kempen Piala Malaysia.

“Cuma kita tidak dapat menggunakan Syahmi, Evan dan Ilham untuk beberapa perlawanan awal dan harap pemain-pemain lain yang diberikan peluang akan dapat memberikan corak permainan yang baik sama seperti aksi kita malam ini.

“Saya rasa, motivasi dan momentum pemain Selangor kini berada dalam keadaan cukup baik,” jelas Nazliazmi.