Nazliazmi: Kita dihukum dengan sedikit kelekaan

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir terpaksa menerima hakikat kelekaan para pemainnya pada penghujung tambahan masa telah menyebabkan mereka sekadar seri 1-1 dengan PKNP FC pada perlawanan kesembilan Liga Super 2018, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, jaringan Rufino Segovia pada minit ke-53 sepatutnya sudah mampu menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor, namun ledakan Hafiz Ramdan pada minit ke-95 memastikan satu mata berjaya dicuri PKNP FC.

“Inilah bola sepak. Selagi wisel penamat belum ditiup oleh pengadil, kita tak boleh terlalu yakin dengan kelebihan gol yang dimiliki.

“Sebelum perlawanan lagi, saya sudah mengatakan yang PKNP FC bukan calang-calang pasukan kerana mereka memiliki pemain muda yang baik dan juga import berkualiti.

“Akhirnya pada hujung permainan, kita dihukum dengan gol penyamaan mereka. Inilah bola sepak, apa yang kita rancang tak semestinya menjadi.

“Pemain sudah berusaha mengekalkan kelebihan satu gol itu tetapi dengan serangan bertali arus PKNP FC, kita akhirnya dihukum dengan sedikit kecuaian dan kealpaan. Kena terima ini sebagai pengajaran berguna untuk aksi akan datang,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Duo Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn telah kembali selepas terlepas dua aksi sebelum ini kerana bersama skuad B-23 negara itu, namun persembahan Evan kurang menyerlah tatkala Ilham terpaksa diketepikan daripada senarai 18 pemain kerana mengalami kecederaan hamstring.

“Secara peribadi, Evan tetap dapat membantu corak serangan kita dari bahagian tengah, namun berkemungkinan faktor keletihan atau sebagainya, nampak dia agak terbatas dari segi hantaran dan pergerakan ke hadapan.

“Ilham pula mengalami sedikit kecederaan hamstring dan mungkin memerlukan tempoh seminggu untuk pulih sepenuhnya,” jelas Nazliazmi.

Pintu perpindahan kedua Liga Super 2018 dibuka mulai hari ini dan ketika ditanya kemungkinan Selangor akan mengambil pemain import baharu bagi menggantikan mana-mana dari kalangan lima import sedia ada ketika ini, Nazliazmi masih menunggu lampu hijau daripada pihak pengurusan FAS.

“Tapi sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan beberapa pemain baharu bagi memperbaiki atau menambah lagi kekuatan pasukan. Apa pun saya masih menanti persetujuan daripada pihak pengurusan,” ujarnya.