Nazliazmi: Keputusan seri yang perlu kita terima

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir berasakan keputusan seri 2-2 dengan PKNS FC pada perlawanan ke-15 Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam, malam tadi sebagai keputusan yang perlu diterima biarpun Selangor hampir berjaya meraih tiga mata penuh.

“Walaupun pada hujung perlawanan tadi nampak yang tiga mata penuh seperti akan menjadi milik Selangor tetapi inilah bola sepak, selagi belum habis 90 minit, apa pun boleh berlaku.

“Jadi keputusan seri ini saya rasa keputusan yang perlu diterima. Tapi pada masa yang sama, boleh nampak peningkatan permainan terutama dari segi karakter individu pemain.

“Tahniah juga kepada PKNS FC kerana berjaya kutip satu mata dengan Selangor malam ini,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan dua pertukaran berbanding kesebelasan ketika menewaskan PKNS FC 2-1 di Cheras, Rabu lalu dengan Faizzudin Abidin dan Abdul Halim Zainal menggantikan tempat Joseph Kalang Tie dan Saiful Ridzuwan Selamat.

PKNS FC terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Rafael Ramazotti pada minit ke-18 sebelum Selangor bangkit pada 10 minit terakhir permainan dengan membalas dua gol menerusi Rufino Segovia pada minit ke-80 dan pemain gantian, D Kugan pada minit ke-89.

“Syahmi Safari masih dalam proses pemulihan dan insya-Allah bertemu Perak nanti dia dijangka bersedia untuk diturunkan.

“Dari segi pertukaran pemain gantian pada perlawanan malam ini, nampaknya kita berjaya kerana Kugan berjaya menjaringkan gol pendahuluan tetapi cuma kita dihukum gol saat akhir oleh Ramazotti pada masa kecederaan,” jelas Nazliazmi.

Diminta mengulas mengenai perlawanan seterusnya bertemu Perak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 19 Jun ini, Nazliazmi berkata, ia pasti satu perlawanan yang sengit memandangkan Perak kini di kedudukan tangga kedua Liga Super di belakang JDT.

“Saya jangka perlawanan akan cukup sengit kerana Perak kini dalam prestasi terbaik. Tapi Selangor akan turun dengan corak permainan lebih positif demi memastikan kita tidak lagi keciciran mata.

“Harap konsistensi pemain dapat diteruskan dengan karakter individu yang ditampilkan sepanjang perlawanan pada bulan Ramadan ini akan dapat diteruskan selepas Aidilfitri nanti,” ujar Nazliazmi.