ABK17

Nazliazmi: Keputusan seri yang adil

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nazir menyifatkan keputusan seri 1-1 dengan Pahang pada perlawanan ke-17 Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi sebagai keputusan yang adil memandangkan jadual padat terpaksa diharungi pasukannya itu.

Selangor hanya berehat sehari Ahad lalu selepas menewaskan PKNS FC 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Cheras pada Sabtu sebelum ke Kuantan pada Isnin bagi menghadapi Pahang.

“Memang agak mencabar sebenarnya untuk pasukan Selangor yang mana kita hanya mendapat rehat sehari setengah sebelum bertemu Pahang ini selepas aksi penting menentang PKNS FC, Sabtu lalu.

“Faktor latihan dan juga kecergasan pemain perlu diambil kira tetapi syukur alhamdulillah kerana kita dapat juga mencuri satu mata di gelanggang lawan kerana bukan mudah juga untuk menewaskan Pahang di Stadium Darul Makmur ini.

“Perlu diakui Pahang juga bermain baik. Namun Selangor berjaya bangkit mendapatkan gol penyamaan dan saya rasa ini satu keputusan yang adil untuk kedua-dua pasukan,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan.

Biarpun Selangor terus tercicir mata menerusi keputusan seri ketiga berturut itu selepas seri dengan PKNS FC 2-2 dan Perak 1-1, Nazliazmi tetap melihat kejayaan mengikat Pahang itu sesuatu yang positif menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2018 bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Biarpun kita menang 4-0 ke atas PKNS FC pada separuh akhir pertama, ia masih belum menjamin tempat ke final kerana dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku dalam tempoh baki 90 minit.

“Tapi saya mengharapkan keyakinan pemain akan lebih tinggi pada Sabtu ini kerana kita menjangkakan PKNS FC pasti akan tampil lebih baik berbanding aksi mereka di Cheras, tempoh hari.

“Jadi saya akan mengingatkan para pemain supaya sentiasa fokus sepanjang perlawanan nanti bagi mengekalkan agregat 4-0 itu dan pada masa sama kita juga akan mengintai peluang mendapatkan gol di tempat lawan bagi menjadikan kedudukan lebih selesa,” jelas Nazliazmi.

error: Content is protected !!