ABK17

Nazliazmi: Kekalahan bukan titik noktah

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir percaya barisan pemainnya akan kembali bangkit pada baki lima perlawanan Kumpulan D selepas skuad Red Giants memulakan kempen Piala Malaysia 2018 dengan kekalahan 3-0 kepada PKNP FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.

“Kekalahan ini bukan titik noktah untuk segala-galanya. Kita masih ada baki lima perlawanan, apa juga boleh berlaku dalam bola sepak.

“Saya percaya pemain saya akan kembali bangkit selepas ini. Kami akan buktikan yang kami boleh memberi saingan lebih baik berbanding malam ini dan akan mulakannya apabila bertemu Pahang, Sabtu ini,” kata Nazliazmi Nasir pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Selangor, juara 33 kali Piala Malaysia bermain serba tidak menjadi malam tadi dan dibolosi dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Hafiz Ramdan pada minit ke-23 dan Fandi Ahmad minit ke-32 sebelum Ritus Krjauklis menambah gol ketiga pelawat kendalian Abu Bakar Fadzim pada minit ke-62.

“Tahniah kepada PKNP FC yang bermain cukup baik dan begitu agresif malam ini. Kami pula serba tidak menjadi. Masih berjaya mencipta peluang tetapi tidak dimanfaatkan dengan baik.

“Kami melakukan kesilapan dan PKNP FC pantas memanfaatkan peluang berkenaan dan gol kedua PKNP FC nyata telah membunuh semangat kami malam ini.

“Saya akui yang barisan tengah juga begitu longgar dan tindakan saya menyenaraikan Badrul Amin Rusalan dari skuad Piala Presiden juga tidak begitu menjadi,” jelas Nazliazmi.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya berikutan ketiadaan Syahmi Safari serta dua import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang bersama skuad B-23 Malaysia dan Indonesia bagi persiapan Sukan Asia 2018 di Indonesia.