ABK17

Nazliazmi: Kami perlu baiki segera kelemahan

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir enggan menoleh ke belakang, sebaliknya mahu fokus menggunakan sepenuhnya tempoh lima hari latihan sepanjang minggu ini bagi memperbaiki segala kelemahan selepas skuad Red Giants tewas kedua-dua aksi awal Kumpulan D Piala Malaysia 2018.

Selepas tewas 3-0 kepada PKNP FC pada aksi sulung di Stadium Shah Alam minggu lalu, Selangor terus gagal meraih mata selepas tewas 2-0 kepada Pahang pada aksi kedua di stadium sama, malam tadi.

“Selepas dua perlawanan, jarak mata menjadikan Pahang dan Sabah kini mengumpul empat mata diikuti PKNP FC dengan tiga mata manakala Selangor masih tanpa sebarang mata.

“Tapi saya masih optimis Selangor boleh melakukan sesuatu pada baki empat lagi perlawanan selepas ini.

“Dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku. Namun apa yang lebih penting, kami perlu memperbaiki segera kelemahan dan apa yang perlu dalam tempoh empat atau lima hari ini dengan sebaik mungkin.

“Mungkin bertemu Sabah di Stadium Likas pada Sabtu nanti (18 Ogos) kita mampu untuk mencuri tiga mata penuh. Memang semua tak yakin tetapi saya percaya dan yakin dengan para pemain untuk mereka melakukannya,” kata Nazliazmi Nasir pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika tewas kepada PKNP FC minggu lalu dengan mempertaruhkan barisan pemain berpengalaman terdiri daripada penjaga gol, Norazlan Razali, Razman Roslan, Joseph Kalang Tie dan Willian Pacheco.

Namun Pahang kendalian Dollah Salleh berjaya meraih kemenangan pertama mereka selepas diikat Sabah 1-1 di Kuantan minggu lalu menerusi dua gol daripada Muslim Ahmad pada minit ke-30 dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-54, kedua-duanya berpunca daripada situasi bola mati.

“Bagi tempoh 20 minit pertama, kami berjaya mengawal dan mengimbangi segala asakan daripada Pahang. Namun kita dihukum dengan gol pertama Pahang dan selepas itu mereka mula mendapat keyakinan.

“Kembalinya Pacheco di barisan pertahanan masih belum dapat membantu sepenuhnya. Tapi dengan kehadiran beliau, sedikit sebanyak dapat mengurangkan segala asakan daripada Pahang terutama menerusi gerakan Mohamadou Sumareh dari sebelah kanan,” jelas Nazliazmi.