Nazliazmi janji aksi terbaik bertemu Persija

Enggan menoleh ke belakang selepas Selangor bermula dengan langkah kiri pada siri persahabatan di Indonesia apabila tewas 1-4 kepada Madura United semalam, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir yakin barisan pemainnya akan mempamer aksi lebih bertenaga bertemu Persija Jakarta di Stadium Patriot Chandrabhaga, 7.00 malam esok.

“Berlainan di Malaysia apabila perlawanan diadakan pada waktu malam, cuaca agak panas (sepak mula 3.30 petang waktu tempatan) di Madura sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pemain.

“Saya percaya kami boleh memberi saingan lebih baik berbanding semalam apabila berhadapan Persija nanti,” kata Nazliazmi Nasir pada sidang media di hotel penginapan pemain setibanya Red Giants di Bekasi petang tadi.

Sambil mengakui cuba menggunakan seramai mungkin pemain yang dibawa ke Indonesia untuk kedua-dua aksi persahabatan ini, Nazliazmi berazam untuk menurunkan kesebelasan terbaik apabila bertemu Persija.

“Sudah pasti akan terdapat perubahan kepada barisan pemain yang akan diturunkan esok. Kita tahu Persija merupakan lawan yang kuat dan kami akan beri saingan yang berkualiti untuk tontonan peminat kedua-dua pasukan.

“Saya juga mendapat maklumat mengenai kekuatan Persija daripada Willian Pacheco yang pernah beraksi di sini sebelum ini,” jelas Nazliazmi.

Nazliazmi turut positif ketika ditanya media tempatan mengenai prestasi dua pemain import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sewaktu bersama Selangor.

“Kedua-dua mereka masih dalam usia muda jika hendak dibandingkan dengan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy sewaktu mereka beraksi bersama Selangor dahulu.

“Selepas lapan bulan bersama Evan dan Ilham, saya dapati mereka mempunyai kualiti dan berpotensi untuk lebih maju di masa akan datang.

“Bagaimanapun keputusan mengenai kontrak mereka dan Pacheco untuk musim hadapan tertakluk sepenuhnya kepada pengurusan.” tambah Nazliazmi lagi.