Nazliazmi: Ini bukan kejayaan saya seorang

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir tidak menganggap kejayaan membawa skuad Red Giants mara ke pentas final Piala FA 2018 selepas menyingkirkan PKNS FC menerusi agregat 5-1 sebagai kejayaan peribadi buat dirinya selaku antara jurulatih muda dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Sebaliknya Nazliazmi, 38, tetap mahu memberi kredit kepada penolong jurulatih, Rusdi Suparman dan jurulatih penjaga gol, Shuhaimi Abd Hamid yang telah banyak membantunya selepas mengambil alih kepimpinan pasukan apabila pengendali terdahulu, P Maniam direhatkan berikutan tiga kekalahan berturut dalam aksi Liga Super.

“Saya tak sangka sebenarnya dapat membawa pasukan ke final. Mungkin ini rezeki untuk saya.

“Tapi ini bukan kejayaan saya seorang. Di belakang saya ada seorang legenda iaitu Rusdi, penolong jurulatih yang berpengalaman bersama skuad Harimau Muda, Kuala Lumpur dan Kuantan FA sebelum ini serta Shuhami, jurulatih penjaga gol yang sebelum ini tiga tahun berpengalaman bersama PKNS FC.

“Mereka inilah yang banyak membantu saya dan pasukan secara keseluruhan.

“Sudah tentu detik kebangkitan pasukan bermula ketika kita menewaskan Terengganu 3-1 di tempat lawan pada aksi pusingan ketiga Piala FA yang juga perlawanan sulung saya selepas ketiadaan Maniam.

“Ketika itu persembahan pasukan masih lagi yoyo dan alhamdulillah sepanjang Ramadan dan kini diteruskan, kami berjaya kekal rekod tanpa kalah sepanjang tujuh aksi terakhir (Liga Super dan Piala FA).

“Ini petanda yang positif dan harap sokongan lebih dapat diberikan penyokong Selangor selepas ini. Terima kasih kerana tetap teguh di belakang pasukan biar apa pun terjadi. Saya tak sabar nak tunggu final Sabtu ini,” kata Nazliazmi pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi, Selangor yang menang 4-0 pada aksi pertama di Cheras terus melebar jurang agregat selepas Rufino Segovia menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-71, namun disamakan Alif Haikal Sabri pada minit ke-90 untuk mengikat kedudukan 1-1.

“Jangkaan saya untuk aksi kedua ini tepat apabila PKNS FC memaksa kita melakukan kesilapan di zon sendiri pada awal permainan.

“Mujur para pemain Selangor berjaya mengawal keadaan dan terus kekal fokus untuk kita mengekalkan kelebihan empat gol. Pada masa yang sama, kita akhirnya berjaya mencuri peluang untuk menambah satu lagi gol menerusi Rufino,” jelas Nazliazmi.