Nazliazmi: Gol penyamaan JDT terlalu mudah

Jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir menyifatkan gol penyamaan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk pasukannya itu diikat seri 2-2 pada perlawanan ke-10 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi sebagai terlalu mudah.

“Pertama sekali, syukur kerana dapat juga satu mata. Kita tak kalah dan tercicir mata. Tapi sebenarnya kita hampir berjaya meraih kemenangan tetapi masih lagi faktor kelekaan di barisan pertahanan.

“Gol penyamaan JDT pada babak kedua itu terlalu mudah. Pemain pertahanan kita tidak memberi tekanan cukup kepada Gonzalo Cabrera untuk memberi ruang kepadanya membuat hantaran cantik.

“Kombinasi Willian Pacheco dan Alfonso De La Cruz juga tidak begitu baik dalam menangani hantaran Cabrera itu, lantas membenarkan Harry Novillo melakukan tandukan tepat ke pintu gol,” kata Nazliazmi selepas perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Selangor ketinggalan seawal minit ketiga menerusi jaringan Cabrera sebelum bangkit membalas dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-14 dan Rufino Segovia minit ke-16.

JDT bagaimanapun akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Novillo pada minit ke-68.

Namun Nazliazmi tetap menganggap ada peningkatan positif ditampilkan anak buahnya sehingga berjaya memastikan JDT gagal meneruskan rentak kemenangan berturut sepanjang enam perlawanan sebelum ini.

“Secara keseluruhan persembahan malam ini, ada peningkatan positif dalam pasukan. Pemain menunjukkan kesungguhan, usaha, fokus dan kerjasama sepasukan yang baik.

“Cuma saya berharap akan ada penambahbaikan lagi dalam pasukan jika kita melakukan pertukaran import atau pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua ini.

“Kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk pasukan dan Selangor perlu lebih bersedia menghadapi baki saingan kerana jika kita lihat, cabaran dalam setiap perlawanan liga musim ini cukup sengit,” jelas Nazliazmi.

Diminta mengulas mengenai prestasi semasa duo import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armayn, Nazliazmi berkata, kedudukan para pemain import Selangor yang ada ketika ini adalah terpulang kepada keputusan pihak pengurusan yang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemain import sedia ada kita ini adalah lebih baik daripada pemain tempatan yang kita ada. Mereka bukan liabliti kepada pasukan.

“Tapi permasalahan yang kita hadapi adalah konsistensi apabila sebagai pemain import, sudah tentu saya harapkan mereka ini akan berbeza daripada pemain tempatan. Bukannya hari ini bermain baik, kemudian perlawanan seterusnya tidak baik.

“Bagi saya, persembahan Evan dan Ilham pada malam ini masih di tahap sederhana. Bergantung kepada pengurusan, mereka akan adakan mesyuarat dan laporan yang saya akan bentangkan nanti mungkin akan dipersetujui atau dibincangkan,” ujar Nazliazmi.