Pemain muda Selangor, A Namathevan sudah bersedia untuk mengisi posisi pertahanan/sayap kanan skuad Red Giants itu sepanjang bulan ini selepas dia beraksi penuh 90 minit ketika menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan kedua Piala Malaysia 2017 di Kuching, Sabtu lalu.

Namathevan yang bakal genap berusia 21 tahun pada 26 Julai ini turut masuk sebagai pemain gantian ketika aksi Liga Super 2017 menewaskan T-Team 4-2 pada 1 Julai lalu dan aksi sulung Piala Malaysia 2017 ketika diikat 1-1 oleh Terengganu pada 4 Julai lalu.

Kini peluang terbuka luas buat Namathevan untuk terus berada dalam kesebelasan utama Selangor bagi tiga perlawanan Liga Super 2017 dan satu aksi Piala Malaysia 2017 selepas ini memandangkan pilihan utama di posisi berkenaan, Syahmi Safari menyertai skuad B-22 kebangsaan ke Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand.

“Rasanya ini peluang terbaik saya untuk menunjukkan kemampuan dan pada masa sama meningkatkan tahap permainan.

“Mula-mula ini memang rasa segan dan kekok jugalah tetapi saya yakin mampu beraksi lebih baik dari setiap perlawanan ke perlawanan seterusnya dengan bantuan rakan sepasukan lain.

“Selepas beraksi 90 minit di Kuching tempoh hari, saya dapat rasa keyakinan dan lebih bersedia untuk diturunkan bila-bila masa jika dipilih oleh jurulatih,” kata Namathevan kepada faselangor.my, hari ini.

Mengakui masih dalam proses untuk membiasakan diri beraksi di posisi pertahanan/sayap kanan dalam formasi 3-4-3 yang diguna pakai jurulatih Selangor, P Maniam, pemain yang memakai jersi No 2 itu bertekad untuk mempamerkan aksi lebih baik selepas ini.

“Hasil kerja keras semua pemain, kami berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Kuching. Tapi kami perlu kerja lebih keras lagi apabila berdepan Perak di Ipoh pada Selasa dan melakukan yang lebih baik lagi bagi mencuri tiga mata penuh.

“Bagi posisi sebagai wingback ini, saya masih perlu menyesuaikan diri lagi kerana sebelum ini saya biasa bermain sebagai bek kanan dalam formasi 4-4-2. Jadi ini pertama kali saya beraksi sebagai wingback dalam formasi 3-4-3 ini. Perlu banyak belajar lagi.

“Tapi selepas beraksi penuh 90 minit ini, saya rasa lebih yakin selepas mendapat tunjuk ajar dan arahan daripada pemain pertahanan tengah seperti Ugo Ukah dan Adam Nor Azlin sepanjang perlawanan tempoh hari,” jelas Namathevan.

Ditanya apakah pula pesanan atau nasihat diterimanya daripada barisan jurulatih sebelum turun beraksi di Kuching tempoh hari, Namathevan berkata:

“Jurulatih beritahu, jangan takut buat silap. Yang penting kena yakin. Jika dapat buat keputusan atau tindakan dengan cepat, kita akan jadi yakin di atas padang.”