MAJLIS Memperkenalkan Pemain dan Pelancaran Jersi Baru Selangor 2011 telah diadakan di Stadium Shah Alam petang tadi.

Pada majlis itu, Menteri Besar Incorporated (MBI) diumumkan sebagai penaja utama musim ini manakala Kappa menjadi penaja baru jersi pasukan.

MBI mula menjadi penaja utama skuad Selangor pada musim 2010 setelah menggantikan penaja terdahulu, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kappa pula menggantikan Adidas yang sebelum ini menaja jersi pasukan Selangor selama enam musim dari 2005 hingga 2010.

Majlis petang tadi telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Acara dimulakan dengan pengenalan pemain-pemain skuad Piala Presiden Selangor 2011 yang diketuai jurulatihnya, P. Somasundaram dengan mengenakan jersi kedua berwarna kuning.

Ia disusuli dengan pengenalan pemain-pemain skuad Liga Super Selangor 2011 diketuai pengurus merangkap jurulatih, K. Devan sambil memakai jersi pertama berwarna merah.

Pada sidang media selepas majlis itu, Khalid memberitahu, MBI memberi tajaan yang bernilai lebih RM4 juta setahun.

Selain itu, Khalid turut berharap Selangor dapat menggondol kesemua empat piala yang dipertandingkan musim ini dengan keutamaan mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sumbangsih sambil merampas semula Piala Malaysia.

Selangor merupakan juara Liga Super 2009 dan 2010 serta juara Piala Sumbangsih 2009 dan 2010. Namun Piala FA yang dimenangi pada 2009 gagal dipertahankan musim lalu.

Bagi Piala Malaysia pula, kali terakhir Selangor memenanginya ialah pada 2005 dan kini masih kempunan untuk meraih kejuaraan buat kali ke-33.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad pada sidang media yang sama berkata, harga tiket bagi aksi Piala Sumbangsih menentang Kelantan di Stadium Shah Alam pada 29 Januari ini dijual pada harga RM20.

Bagi perlawanan-perlawanan Liga Super membabitkan pasukan Selangor di Stadium Shah Alam sepanjang musim ini pula, harga tiket telah dinaikkan daripada RM10 kepada RM15.

Menjelang saingan sebenar bermula, Selangor bakal mengadakan dua lagi aksi persahabatan iaitu bertemu Sime Darby pada Rabu (Stadium Shah Alam, 8 malam) dan bertemu kelab Singapura, Sengkang Punggol pada Sabtu ini (Stadium Shah Alam, 8 malam).

Sabtu lalu, Selangor mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam.