Maniam: Tempoh dua minggu perbaiki pasukan

Jurulatih Selangor, P Maniam mahu menggunakan sepenuhnya tempoh dua minggu menjelang perlawanan keempat Liga Super 2018 bertemu Pahang di Cheras pada 24 Februari ini bagi memperbaiki kelemahan pasukannya selepas mengalami kekalahan sulung tewas 4-1 kepada Terengganu FC, malam tadi.

Pada perlawanan ketiga liga yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu itu, Selangor ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama dan dibolosi tiga lagi gol pada babak kedua sebelum beroleh satu gol menerusi Amri Yahyah pada penghujung permainan.

“Secara keseluruhan, boleh nampak yang kita tidak bermain dengan begitu baik. Saya rasa Terengganu FC memang berhak untuk menang kerana nampak mereka cukup kuat ketika menyerang dan memberi tekanan sehingga kita tak dapat nak bermain seperti biasa.

“Apa pun kita masih ada banyak lagi perlawanan selepas ini. Kita ada tempoh dua minggu sebelum berdepan Pahang dan kita perlu memperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan serta melakukan persiapan dengan lebih baik,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ditanya adakah kekalahan sulung Selangor itu berpunca daripada tekanan tinggi memegang status selaku pendahulu liga untuk dua perlawanan awal musim ini, Maniam berkata, itu bukan faktor penyebab.

“Sebenarnya tiada tekanan pun. Kita sudah beritahu para pemain bagaimana dan apa yang perlu dilakukan untuk berdepan Terengganu yang kita ketahui mereka satu pasukan yang kuat terutama di gelanggang sendiri.

“Tapi pada perlawanan ini, kita begitu mudah dibolosi gol selain beberapa kesilapan individu. Kami jelas tidak begitu tersusun di bahagian pertahanan,” jelas Maniam.

Maniam turut berharap tempoh dua minggu akan datang ini dapat memantapkan lagi persefahaman dan kombinasi lima pemain importnya musim ini yang terdiri daripada penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia, pertahanan dari Brazil, Willian Pacheco, pemain tengah bertahan dari Sepanyol, Alfonso de la Cruz Calero serta duo dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn.

“Saya rasa kita ada lagi dua minggu untuk mempersiapkan barisan pemain import yang kita ada ini supaya mereka mampu mempamerkan aksi dan kombinasi lebih mantap bagi mengharungi saingan musim 2018 ini,” tegas Maniam.

Selepas tiga perlawanan, saingan Liga Super 2018 berehat seketika bagi memberi laluan kepada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2018 membabitkan pasukan-pasukan dari Piala FAM dan liga amatur (pasukan Liga Super dan Liga Premier mendapat bye pusingan pertama) yang dijadual berlangsung pada Selasa ini dan disusuli dengan cuti perayaan Tahun Baru Cina pada 16 dan 17 Februari ini.