Jurulatih Selangor, P Maniam masih memburu seorang penyerang import bagi mengisi posisi ‘No 9’ dalam pasukannya sepanjang pintu perpindahan kedua Liga Super 2017 yang dibuka selama empat minggu bermula Isnin lalu hingga 11 Jun depan.

Setakat ini, Maniam sudah mendaftarkan dua pemain baharu pada perpindahan kedua kali ini – Andik Vermansah dan Amri Yahyah.

Andik, 26, yang menyertai Selangor pada 2014 tidak didaftarkan pada awal musim ini kerana kecederaan panjang dialami ketika beraksi bersama Indonesia pada Piala Suzuki AFF 2016 manakala Amri, 36, kembali selepas berhijrah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 sebelum menyertai Melaka, awal musim ini.

“Kepulangan semula Amri memberi satu kekuatan kepada pasukan kerana dia seorang pemain yang berkualiti selain kepimpinan dan pengalamannya diperlukan oleh Selangor. Harap dia dapat beri contoh yang baik kepada pemain lain.

“Andik pula, selepas kita sudah mencubanya dalam tiga aksi persahabatan baru-baru ini, nampak tahap kecergasannya cukup baik.

“Jadi empat pemain import Selangor ketika ini terdiri daripada Francis Forkey Doe, Ugochukwu Ukah, Juliano Mineiro dan Andik.

“Tapi dalam seminggu dua ini, saya masih dalam proses pemilihan dan kalau boleh kita mahu cuba seorang atau dua penyerang nombor 9.

“Jika yang datang pemilihan nanti menepati kualiti, kita akan bincang dengan pihak pengurusan mengenai siapa pemain import yang akan dipilih,” kata Maniam selepas aksi persahabatan menentang MISC-MIFA di USIM, Nilai, petang semalam yang berkesudahan seri 1-1.

Namun Maniam menegaskan bahawa tiada pemain tempatan sedia ada akan digugurkannya serta pemain tempatan baharu bakal diambil lagi pada perpindahan kedua ini.

“Saya rasa pemain yang kita ada ketika ini sudah mencukupi dan saya tidak akan menggugurkan mana-mana pemain tempatan. Kita perlu beri peluang untuk mereka membuktikan kemampuan,” jelas Maniam.