Maniam: Penalti rencat kebangkitan Merah Kuning

Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan jaringan Kedah menerusi sepakan penalti Sandro Da Silva pada minit ke-30 menjadi pemusnah buat pasukannya untuk bangkit pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Selepas tewas 3-2 pada aksi suku akhir pertama di Selayang, 15 September lalu, Selangor memerlukan jaringan awal bagi mengejar defisit agregat, namun kebuntuan sentuhan penyudah menyebabkan mereka tewas 1-0 dan tersingkir menerusi agregat 4-2 kepada Kedah.

“Pada separuh masa pertama, ia kelihatan seperti permainan seimbang 50-50 di mana kami memiliki peluang dan Kedah pun memiliki peluang.

“Kemudian pengadil memberikan sepakan penalti dan ini menjadi punca kekalahan kami.

“Secara keseluruhan, Selangor tak bermain begitu baik dan gagal mencipta banyak peluang.

“Tapi pada babak kedua, selepas Andik Vermansah masuk, nampak beberapa gerakan serangan, namun kami masih gagal mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ditanya mengapa Andik tidak diletakkan dalam kesebelasan utama, sama seperti ketika aksi di Selayang tempoh hari, Maniam berkata, ia adalah sebahagian daripada perancangan taktikalnya.

“Kami rasa ini strategi kami iaitu untuk menggunakan pemain bertahan pada separuh masa pertama supaya kami tak dibolosi gol. Tapi Kedah mendapat pula sepakan penalti dan kami ketinggalan.

“Jika kami tak dibolosi pada babak pertama dan apabila Andik masuk, saya pasti momentum permainan dan tahap keyakinan kami lebih baik untuk kami mendapatkan gol.

“Kami hanya perlu mendapatkan gol pertama tetapi malangnya ia gagal diperolehi. Itu yang membuatkan Kedah nampak lebih baik dan lebih berbahaya menerusi serangan balas mereka. Apa pun, selamat berjaya buat pasukan Kedah,” jelas Maniam.

Selangor selepas ini akan bertandang pula ke Stadium Hang Jebat untuk berdepan Melaka bagi aksi Liga Super 2017, Rabu ini dan Maniam berharap para pemainnya kekal profesional untuk terus berjuang bagi sekurang-kurangnya menamatkan rentetan empat kekalahan berturut.

“Sudah tentu sukar untuk para pemain kembali fokus untuk satu lagi perlawanan sebelum berehat panjang (menjelang aksi terakhir Liga Super bertemu Pulau Pinang pada 28 Oktober).

“Tapi sebagai pemain profesional, mereka perlu memandang ke hadapan untuk perlawanan bertemu Melaka ini.

“Saya mungkin akan melakukan satu atau dua pertukaran untuk kesebelasan utama kerana pada masa yang sama, kami perlu juga mendapatkan keputusan baik bagi memberi semula keyakinan kepada pemain,” ujar Maniam.