ABK17

Maniam: Pemain muda tunjuk prestasi baik

Jurulatih Selangor, P Maniam berpuas hati dengan persembahan dua pemain muda, A Tamil Maran, 20, dan Amirul Ashraf Ariffin, 19, yang diletakkan dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Pulau Pinang 3-1 pada perlawanan terakhir Liga Super 2017 di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam tadi.

Selain itu, tiga lagi pemain muda – K Kannan, K Sarkunan dan Faizzudin Abidin turut dibawa masuk sebagai pemain gantian selain Syahmi Safari, 19, yang telah pun menjadi tonggak utama dalam kesebelasan utama Selangor musim ini.

“Kita tahu yang Pulau Pinang akan turun ke Liga Premier musim depan dan mereka telah memberikan yang terbaik untuk menyaingi kami pada malam ini apabila pada satu ketika mereka berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas Andik menjaringkan gol pendahuluan.

“Namun dua gol oleh Rufino selepas itu membuatkan kami dapat kembali bangkit mempamerkan permainan dan penguasaan bola yang lebih baik.

“Saya juga telah menurunkan Tamil Maran dan Amirul Ashraf, dua pemain muda ini buat pertama kali dan mereka telah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.

“Jadi untuk musim depan, kami akan bawa naik lebih kurang lima pemain dari skuad juara Piala Presiden selain empat hingga lima pemain senior baharu untuk membimbing mereka dan juga supaya corak permainan lebih baik dapat ditampilkan musim depan,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang itu membolehkan Selangor menamatkan deretan lima kekalahan berturut dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia sebelum ini, sekali gus mengakhiri saingan liga musim ini di tangga keenam daripada 12 pasukan.

Ditanya mengenai kedudukan empat pemain import musim ini – Rufino Segovia, Andik Vermansah, Ugochukwu Ukah dan Francis Forkey Doe bagi saingan Liga Super 2018, Maniam berkata, ia akan diputuskan dalam masa terdekat ini.

“Berhubung kedudukan pemain import, kami belum buat keputusan buat masa ini. Saya rasa dalam minggu depan kami akan bermesyuarat dan selepas itu pihak pengurusan akan membuat keputusan,” jelas Maniam.