Jurulatih Selangor, P Maniam tetap berpuas hati dengan komitmen dan persembahan anak buahnya biarpun sekali lagi ketiadaan sentuhan penyudah menyaksikan skuad Red Giants hanya membawa pulang satu mata dari Kuching apabila seri 1-1 dengan Sarawak, malam tadi.

Pada perlawanan ke-12 Liga Super 2017 di Stadium Negeri itu, Selangor ketinggalan pada minit ke-34 menerusi jaringan Mateo Roskam sebelum pemain pertahanan, Rizal Fahmi Ab Rosid berjaya menyamakan kedudukan, 10 minit berselang.

“Secara keseluruhan, saya tetap gembira dengan persembahan para pemain kerana mereka telah memberikan seratus peratus komitmen dan terus berusaha untuk mencari gol biarpun kami ketinggalan satu gol.

“Pada saya, jaringan Rizal itu cukup menarik. Cuma pada babak kedua, kami berjaya mencipta banyak peluang tetapi hanya sentuhan penyudah gagal diperoleh. Apa pun, saya gembira dengan persembahan pemain malam ini,” kata Maniam selepas perlawanan.

Beberapa peluang terhidang buat Selangor untuk beroleh gol kemenangan pada separuh masa kedua termasuk sepakan cantik Syahmi Safari dari luar kotak penalti yang menggegar palang pada minit ke-61.

Ia disusuli rembatan jauh padu Juliano Mineiro yang ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Shahril Sa’ari pada minit ke-81 dan tandukan Rizal Fahmi selepas sepakan sudut seminit kemudian yang terkena tiang gol.

Diminta mengulas persembahan dua pemain serangan, Afiq Azmi dan Fittri Shazwan Raduwan yang kembali membarisi kesebelasan utama berikutan ketiadaan Francis Forkey Doe dan S Veenod yang tidak dibawa ke Kuching, Maniam menyifatkan tahap kecergasan mereka berdua perlu dipertingkatkan.

“Sudah tentu ini saja pemain yang saya ada. Bagi saya, mereka memang berhak untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan mereka telah memberikan yang terbaik.

“Cuma mereka sudah agak lama tidak bermula dalam kesebelasan utama, jadi tahap kecergasan mereka tidak mencapai apa yang dikehendaki. Kami perlu memberi fokus terhadap aspek berkenaan pada sesi latihan selepas ini,” jelas Maniam.