Maniam: Pahang beraksi cukup baik

Jurulatih Selangor, P Maniam akur pasukannya gagal menyaingi corak permainan kemas Pahang selepas mereka tewas 2-0 kepada pasukan tangga kedua itu pada perlawanan ke-13 Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

“Memang secara keseluruhan, kami gagal beraksi baik pada malam ini apabila tidak dapat mencipta banyak peluang dan barisan pertahanan kami pun tidak begitu baik.

“Pahang pula beraksi cukup baik dan kamu sendiri boleh lihat mereka menguasai sepenuhnya perlawanan.

“Jadi, tempoh rehat sebulan ini kami perlu gunakan untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan.

Meskipun mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Amri Yahyah dan Andik Vermansah yang turun buat kali pertama, Maniam mengakui kedua-dua pemain itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem permainannya.

“Sudah tentu Amri dan Andik sudah memberikan yang terbaik. Tapi ia belum benar-benar efektif. Saya rasa mereka masih memerlukan masa untuk serasi dengan sistem permainan 3-4-3 ini.

“Apa pun kehadiran Amri dan Andik ini sememangnya pasti akan membantu pasukan untuk menjadi lebih baik. Dalam tempoh sebulan ini, mungkin kami akan cuba satu lagi sistem permainan yang lain untuk para pemain fahami.

“Kami sudah cukup baik dengan sistem 3-4-3 sebelum ini dan mungkin kami mahu mencari pilihan sistem lain seperti 4-2-3-1 atau 4-4-2 yang mana kami kini memiliki Amri dan Andik yang boleh bermain di ‘wide area’,” jelas Maniam.

Pada aksi malam tadi, Selangor tewas menerusi dua jaringan penyerang import Pahang, Matheus Alves pada minit ke-74 dan 83 sebelum terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain gantian, Abdul Halim Zainal dilayangkan kad merah pada minit ke-87.

“Saya rasa ia bukanlah satu terjahan yang begitu keras. Sepatutnya hukuman minimum boleh diberikan iaitu kad kuning tetapi pengadil buat keputusan sebaliknya,” ujar Maniam ringkas.