ABK17

Maniam: Momentum kebangkitan kami terjejas

Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan gol kedua Pahang pada awal babak kedua dan gol ketiga menerusi sepakan penalti, kedua-duanya menerusi Francis Forkey Doe telah menjejaskan momentum kebangkitan pasukannya.

“Separuh masa pertama Pahang bermain baik dengan mencipta peluang dan menjaringkan gol pertama seawal minit ketujuh, namun kita berjaya samakan kedudukan selepas itu.

“Tapi awal babak kedua, kami melakukan kesilapan di bahagian pertahanan sehingga dibolosi gol yang tak sepatutnya. Jika tiada gol kedua ini, pasti kami boleh meneruskan rentak kebangkitan.

“Kemudian gol ketiga Pahang menerusi sepakan penalti jelas telah pun membunuh momentum kami untuk bangkit pada separuh masa kedua.

“Secara keseluruhan, nampak Pahang cukup mantap dan hari ini mereka memang layak untuk menang,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ditanya mengapa Selangor gagal mempamerkan persembahan baik malam tadi, Maniam mengakui taktikal Pahang telah memerangkap strategi pasukannya.

“Kita boleh nampak yang barisan depan Pahang telah melakukan tekanan tinggi terhadap pemain pertahanan kami. Mereka tak beri kami ruang untuk memulakan serangan dari bawah. Sebab itu kami gagal cipta peluang.

“Kemudian saya mengeluarkan Alfonso De La Cruz kerana dia kelihatan gagal melakukan tugas untuk memulakan serangan dari bawah.

“Nampak selepas kemasukan Ilham Udin, kita dapat bermain dengan baik apabila dapat melakukan gerakan-gerakan. Tapi gol kedua Pahang pada awal babak kedua itu telah merencatkan kebangkitan kami,” jelas Maniam.

Selangor perlu segera melupakan dua kekalahan berturut kepada Terengganu FC dan Pahang ini bagi memberi fokus kepada aksi pusingan kedua Piala FA 2018 bertemu pasukan Piala FAM, MOF FC pada 3 Mac ini.

“Ini perkara normal. Dalam liga utama lain pun, ada kalanya pasukan itu kalah dua atau tiga perlawanan berturut dan kemudian mereka mampu bangkit semula.

“Saya rasa kami memiliki pemain berpengalaman seperti Razman Roslan, Amri Yahyah dan Rufino Segovia. Mereka tahu apa yang sedang kami lalui ketika ini dan pasti dapat menggunakan pengalaman masing-masing untuk mengatasinya.

“Untuk berdepan MOF FC, kami perlu melakukan persiapan lebih baik sepanjang minggu ini,” ujar Maniam.