Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan kejayaan menewaskan juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 pada perlawanan ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi adalah hasil usaha keras barisan pemainnya yang bermain sepenuh hati dan demi nama Selangor.

“Pertama sekali, terima kasih kepada Tuhan kerana memberi peluang untuk saya bekerja dengan pasukan Selangor dan berjaya meraih kemenangan pada perlawanan yang cukup penting ini.

“Pujian harus diberikan kepada para pemain Selangor. Kita boleh nampak yang banyak perkara positif telah berlaku dalam pasukan dengan mereka memiliki semangat juang yang tinggi, keinginan untuk beraksi dan bersungguh-sungguh ketika di atas padang.

“Itu perkara yang paling penting dapat kita lihat biarpun tidak dinafikan pemain Selangor tidaklah sehebat barisan pemain JDT. Tapi mereka bermain dengan sepenuh hati dan bermain untuk Selangor.

“Mereka telah memberikan segala-galanya untuk Selangor. Jadi saya sebagai jurulatih mewakili barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan Selangor, kami amat bangga dengan para pemain Selangor,” kata Maniam selepas perlawanan, malam tadi.

Selangor ketinggalan 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Natxo Insa pada minit ke-39, namun berjaya bangkit membalas dua gol pada babak kedua menerusi Amri Yahyah pada minit ke-59 dan pemain gantian, Andik Vermansah pada minit ke-77 untuk memenangi perlawanan.

“Kami bermula dengan cukup baik dengan berjaya mencipta tiga atau empat peluang pada babak pertama, namun tiada sentuhan penyudah. Selepas itu, kami dibolosi dengan satu jaringan yang cukup hebat daripada Insa.

“Separuh masa kedua, kami dapat gol pertama menerusi kebijaksanaan Syahmi (Safari) yang membaling bola dengan cepat untuk Amri dapat menjaringkan gol.

“Kemudian Andik beritahu saya yang dia bersedia untuk dimasukkan bila-bila masa pada baki 30 minit permainan kerana dia mahu membuktikan sesuatu.

“Sesuatu yang menakjubkan apabila apa yang diperkatakan Andik itu dapat diterjemahkan dengan gol kemenangan hanya selepas enam minit dia dimasukkan. Ini perkara terbaik dalam pasukan Selangor malam ini,” jelas Maniam.

Ditanya perancangannya selepas ini, Maniam berkata, dia akan memberikan rehat selama 10 hari kepada para pemainnya sebelum mereka kembali menjalani latihan menjelang aksi Liga Malaysia 2017 yang akan disambung semula pada 9 September depan.

“Selepas rehat, kami akan kembali melakukan persiapan untuk menghadapi baki saingan Liga Super dan juga Piala Malaysia.

“Kami akan ambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan bermula aksi Piala Malaysia bertemu JDT pada 9 September nanti,” kata Maniam.