ABK17

Maniam: Mereka bermain untuk penyokong

Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan kejayaan pasukannya memenangi dua perlawanan awal Liga Super 2018 adalah kerana komitmen tinggi pemain untuk menyarung jersi Red Giants dan bermain untuk para penyokong setia mereka.

Selangor memulakan kempen pada Ahad lalu dengan menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di hadapan lebih 10,000 penyokong sebelum meraih kemenangan kedua menewaskan Melaka 4-1 bersaksikan lebih 8,000 penyokong semalam, kedua-duanya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sekali gus kekal menghuni tangga teratas liga ketika ini.

“Satu perlawanan yang begitu baik ditunjukkan dengan para pemain beraksi dengan bersemangat dan memberikan komitmen yang tinggi untuk menyarung jersi pasukan Selangor.

“Mereka telah memberikan yang terbaik. Boleh nampak semangat juang para pemain dan itu sekali gus memberikan kelebihan untuk kami mengatasi pasukan Melaka.

“Selepas dua perlawanan, saya nampak kehadiran penyokong Selangor ke stadium ini cukup baik. Terima kasih kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada kami.

“Kita boleh nampak yang para pemain bermain untuk penyokong Selangor,” kata Maniam kepada faselangor.my, hari ini.

Selain mempertaruhkan para pemain senior, Maniam dilihat semakin yakin dengan para pemain mudanya apabila memberi peluang kepada mereka untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, antaranya D Kugan, K Kannan, Syahmi Safari, M Tamil Maran dan Faizzudin Abidin.

“Selepas dua perlawanan ini, kita telah beri peluang kepada Kugan, Syahmi dan Kannan untuk bermain dalam kesebelasan utama manakala Tamil dan Faizzudin pula masuk sebagai pemain gantian.

“Nampak peningkatan prestasi permainan mereka ini tetapi kadang kala mereka ada melakukan kesilapan dan di sinilah saya mahu melihat bagaimana mereka mampu bangkit daripada kesilapan tersebut.

“Itu yang mustahak kerana mereka harus banyak belajar dan diberikan peluang untuk beraksi pada perlawanan sebenar,” jelas Maniam.

Pengendali berusia 50 tahun itu turut berharap rentak cemerlang Red Giants dapat diteruskan para pemainnya apabila mereka turun berdepan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu ini biarpun berkemungkinan bakal terus terlepas untuk menggunakan khidmat Azammuddin Akil dan Ilham Udin Armaiyn yang tercedera ketika aksi sulung, Ahad lalu.