Jurulatih Selangor, P Maniam memberi penghargaan kepada para pemainnya di atas kesungguhan mereka dalam memastikan skuad Red Giants itu mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Terengganu 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada masa sama, Maniam turut menghadiahkan kejayaan itu kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan skuad Red Giants terus dapat bersaing musim ini selepas pucuk pimpinan persatuan bertukar pada Februari lalu.

“Sudah tentu kejayaan layak ke suku akhir ini, kredit harus diberikan kepada semua pemain yang telah beraksi bersungguh-sungguh setiap kali perlawanan serta para penyokong yang terus memberikan sokongan kepada kami tidak kira di gelanggang sendiri dan tempat lawan.

“Tidak lupa juga kejayaan ke suku akhir ini merupakan satu hadiah buat Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal kerana beliau telah bekerja keras dalam semua perkara terutama dalam mencari dana untuk persatuan dan juga pasukan.

“Beliau telah melakukan yang terbaik dan kejayaan ini kami tujukan kepada presiden kami,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Biarpun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Ismail Faruqi Ashari, Selangor bangkit pada awal babak kedua dengan memperoleh dua jaringan menerusi Francis Forkey Doe dan Syahmi Safari.

Meskipun Terengganu berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-78, penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia menjaringkan gol kemenangan Selangor pada masa kecederaan.

“Separuh masa pertama, kami gagal beraksi dengan baik apabila gagal mencipta banyak peluang dan turut bermain banyak hantaran negatif.

“Tapi babak kedua boleh nampak para pemain begitu bersungguh-sungguh dan mahukan kemenangan. Kami berjaya mencipta peluang untuk menjaringkan gol dan saya rasa kami memang layak untuk meraih tiga mata penuh jika berdasarkan persembahan pada babak kedua,” jelas Maniam.

Ditanya mengenai tahap kecederaan Rufino, Maniam berkata, penyerang import itu hampir pasti terpaksa direhatkan kembali untuk perlawanan kelima Piala Malaysia 2017 bertemu Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini.

“Kita boleh nampak yang Rufino mengalami kecederaan hamstring sekali lagi pada penghujung permainan. Jadi kami perlu lupakan dia untuk perlawanan bertemu Sarawak nanti.

“Apa pun Andik Vermansah dilihat sudah boleh beraksi selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada malam ini dan Ugo Ukah pun akan kembali beraksi pada Rabu nanti. Mungkin kita akan terus buat penggiliran pemain untuk bertemu Sarawak,” kata Maniam.