Maniam: Kombinasi baik pemain muda dan senior

Jurulatih Selangor, P Maniam tampak gembira dengan kombinasi baik ditunjukkan para pemain mudanya bersama barisan pemain senior Red Giants pada aksi sulung Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Pada perlawanan yang berkesudahan Selangor berjaya menewaskan tuan rumah, Kuala Lumpur 2-0 menerusi dua jaringan Rufino Segovia untuk menghuni tangga teratas liga, Maniam meletakkan empat pemain berusia 23 tahun dan ke bawah dalam kesebelasan utamanya.
Mereka terdiri daripada dua import dari Indonesia iaitu pemain tengah, Evan Dimas, 23, dan penyerang, Ilham Udin Armaiyn, 22, serta dua pemain sayap muda tempatan, K Kannan, 22, dan D Kugan, 21.
Seorang lagi pemain muda, M Tamil Maran, 21, pula masuk sebagai pemain gantian pada baki 20 minit terakhir.
“Kita boleh nampak, pemain-pemain muda dan senior membentu kombinasi yang cukup baik pada perlawanan ini. Sudah tentu dengan pertolongan daripada Rufino, Evan Dimas, Ilham Udin, Alfonso De La Cruz dan Willian Pacheco, kami dapat membentuk kombinasi baik ini.
“Kita boleh nampak pada separuh masa pertama, kami bermain dengan baik. Kemudian pada babak kedua, kami tidak dapat mendominasi permainan kerana Kuala Lumpur begitu menekan kerana mahukan gol.
“Tapi serangan balas kita tetap nampak berbahaya. Cuma pada masa yang sama, kami masih kurang dari segi bertahan dan ia perlu diperbaiki menjelang perlawanan kedua bertemu Melaka, Rabu ini,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Barisan kesebelasan utama Selangor malam tadi turut ditunjangi pemain-pemain senior seperti penjaga gol, Norazlan Razali, 33, ketua pasukan Razman Roslan, 34, Fairuz Abdul Aziz, 33, Alfonso De La Cruz Calero ,32, Azammuddin Akil, 33, dan Rufino Segovia, 33, serta tidak ketinggalan Amri Yahyah, 37, yang masuk sebagai pemain gantian.
Maniam turut mendedahkan bahawa para pemainnya begitu bersemangat untuk menang pada aksi sulung 2018 itu, sekali gus membuktikan yang segala kontroversi yang melanda pasukan termasuk isu penggunaan stadium tidak mengganggu fokus mereka ketika di atas padang.
“Saya ingatkan kepada pemain yang kita perlu mengatasi segala masalah tersebut dengan membuktikan yang perlawanan ini lebih penting. Sebelum perlawanan lagi, nampak pemain cukup positif dan yakin mereka boleh menang.
“Di atas padang, kita boleh nampak mereka begitu bersemangat dan pada masa yang sama juga saya lihat para penyokong Selangor memberikan sokongan dengan begitu baik,” jelas Maniam yang teruja dengan kehadiran kira-kira 10,000 penyokong Red Giants, malam tadi.
Angka yang sama dijangka terus membanjiri Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang turut merupakan gelanggang sendiri Selangor musim ini bagi perlawanan kedua bertemu Melaka pada Rabu ini, jam 9.00 malam sebelum skuad Red Giants bertandang ke Kuala Terengganu untuk berdepan Terengganu FC pada perlawanan ketiga, Sabtu ini.