Jurulatih Selangor, P Maniam mengakui ketiadaan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia yang dikeluarkan awal akibat kecederaan menyaksikan pasukannya terpaksa beraksi secara lebih bertahan ketika mengikat Kedah 1-1 pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

“Keadaan mula menjadi sukar apabila Rufino terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-24 selepas dia mengalami kecederaan. Sebab itulah kami tidak dapat bermain secara menyerang selepas itu.

“Sudah tentu pada penghujung perlawanan, kami terpaksa bermain secara negatif dengan lebih banyak bertahan kerana lebih mahu memastikan satu mata dapat dibawa pulang.

“Namun secara keseluruhan, saya rasa para pemain telah bekerja keras dengan memberikan apa yang terbaik di dalam padang. Sebagai jurulatih, saya tetap gembira dengan satu mata yang dibawa pulang ini,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Maniam terpaksa merombak kesebelasan utamanya malam tadi ekoran penggantungan perlawanan tiga tonggak utamanya, kapten Razman Roslan, Amri Yahyah dan Andik Vermansah serta dua pemain muda yang bersama skuad B-22 kebangsaan, Adam Nor Azlin dan Syahmi Safari.

“Untuk perlawanan ini, kita melakukan empat atau lima pertukaran dalam kesebelasan utama dan nampak mereka berhak untuk berada di situ dan beraksi dengan cukup baik terutama Fittri Shazwan Raduwan yang masuk menggantikan Rufino serta Halim Zainal dan juga S Veenod yang kembali dalam kesebelasan,” ujar Maniam.

Maniam bagaimanapun sedikit lega apabila dia bakal mempunyai pilihan pemain menjelang perlawanan ketiga Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Selasa ini.

“Sudah tentu untuk perlawanan dengan JDT nanti, saya boleh kembali mendapatkan khidmat Amri, Andik dan juga Razman. Jadi di sini saya boleh buat penggiliran pemain kerana banyak lagi perlawanan yang perlu dihadapi dalam jadual padat Liga Super dan Piala Malaysia ketika ini.

“Jadi untuk berdepan JDT, saya rasa kami mempunyai pemain yang baik untuk melakukan kebangkitan,” tegas Maniam.