ABK17

Maniam: Kesilapan individu punca dibolosi

Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan kesilapan individu menjadi punca pasukannya ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama, seterusnya membawa kekalahan 3-0 kepada Perak pada perlawanan kelima Liga Super 2018 di Stadium TLDM, Lumut, malam tadi.

“Ia mengenai kesilapan individu yang telah menyebabkan gawang kami dibolosi gol.

“Walaupun saya telah meletakkan empat pemain pertahanan berbanding kebiasaan tiga pemain pertahanan, tapi nampak barisan pertahanan kami belum cukup ampuh.

“Apa pun saya rasa pemain telah berikan seratus peratus komitmen. Kita berjaya cipta beberapa peluang pada babak kedua termasuk dua peluang terbaik tetapi malangnya diselamatkan pemain lawan,” kata Maniam selepas perlawanan, malam tadi.

Gol-gol Perak terhasil menerusi jaringan sendiri Ashmawi Yakin pada minit ke-21, Kenny Pallraj minit ke-35 dan Gilmar pada masa kecederaan babak pertama.

Namun Maniam sedikit lega apabila bakal dapat kembali menurunkan kapten, Razman Roslan pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA 2018 bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, Jumaat ini termasuk memberi bayangan pemain tengah bertahan, Alfonso de la Cruz Calero yang tidak beraksi malam tadi akan diletakkan di posisi pertahanan tengah.

“Sudah tentu saya akan melakukan satu atau dua pertukaran untuk berdepan Terengganu nanti, bukannya merombak keseluruhan barisan kesebelasan.

“Razman akan kembali memperkasa barisan pertahanan dan mungkin juga saya akan letakkan Alfonso di posisi pertahanan tengah. Kami perlu melakukan persiapan lebih baik bagi menghadapi Terengganu,” tegas Maniam.