Maniam: Kami tak bermain baik

Jurulatih Selangor, P Maniam mengakui pasukannya tidak bermain baik ketika tewas 2-1 kepada PKNS FC pada aksi Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi, sekali gus terlepas peluang untuk memperbaiki kedudukan di tangga kelima ketika ini.

Lantas pengendali berusia 49 tahun itu menggesa anak buahnya kembali bangkit dan memberi sepenuh fokus untuk baki 90 minit aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 bertemu Kedah di Alor Setar, Ahad ini.

“Saya rasa kami tidak bermain begitu baik dan tempo permainan pun cukup perlahan. Nampak para pemain tidak begitu ‘all out’ selain mereka sedikit lesu dan keletihan. Malah dua gol yang dilepaskan juga cukup mudah iaitu menerusi kesilapan individu.

“Sudah tentu ini kerana kami merehatkan beberapa pemain utama untuk aksi bertemu Kedah, Ahad ini. Tapi perlawanan ini pun penting untuk kami mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan liga. Apa yang berlaku malam ini, permainan serba tidak menjadi.

“Jadi kami perlu bangkit segera. Kami tak boleh lagi dibolosi gol dan perlu lebih fokus terutama pada separuh masa pertama supaya tidak mudah ketinggalan.

“Harap pemain yang mendapat rehat malam ini, mampu menyerlah pada perlawanan Ahad nanti,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ditanya adakah Selangor sudah mengalah dalam usaha bersaing merebut gelaran naib juara Liga Super berdasarkan jumlah mata terkini menyaksikan Pahang di tangga kedua dengan 36 mata diikuti Kedah 34 mata, Felda United 33 mata serta Selangor dan Perak dengan 30 mata berbaki dua perlawanan, Maniam berkata, fokus utamanya ketika ini hanyalah aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini.

“Saya rasa buat masa ini kami perlu fokus Piala Malaysia. Perlawanan Ahad ini cukup penting dan kami perlu ‘all out’ serta memberikan yang terbaik.

“Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal pun beritahu kami yang sasaran untuk kekal di Liga Super sudah berjaya dilakukan dan hanya satu peluang untuk kami meraih piala musim ini ialah menerusi saingan Piala Malaysia.

“Jadi kami perlu fokus betul-betul untuk perlawanan Ahad ini. Apa yang perlu, persediaan yang cukup rapi serta para pemain perlu semat dalam minda mereka untuk yakin kepada diri yang mereka cukup bersedia dan mampu untuk menewaskan Kedah,” tegas Maniam.

Pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Selayang pada Jumaat lalu, Selangor tewas 3-2 kepada Kedah.