Jurulatih Selangor, P Maniam menyifatkan gol kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi tandukan Gary Steven Robbat telah merentap kebangkitan anak buahnya yang akhirnya tewas 3-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

“Secara keseluruhan kalau kita tengok, selepas JDT mendahului pada minit ke-16 (menerusi Mohammed Ghaddar), kita berjaya bangkit dengan baik apabila membalas gol penyamaan pada minit ke-28 (menerusi Rufino Segovia).

“Tapi gol kedua JDT pada minit ke-30 (menerusi Gary Steven) telah membunuh momentum perlawanan dan jika kita tak dibolosi gol kedua itu, saya rasa peluang Selangor untuk menyaingi JDT dalam perlawanan ini agak baik.

“Pada masa sama, kita juga perlu akui yang JDT bermain baik di hadapan penyokong sendiri dan mereka menguasai 60 hingga 70 peratus permainan.

“Kita pula sebaliknya perlu memperbaiki banyak perkara di barisan pertahanan terutama ketika menghadapi set piece lawan,” kata Maniam pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Harapan Selangor untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan pada babak kedua aksi malam tadi tidak kesampaian apabila Ghaddar menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-75.

Dengan kekalahan itu, Selangor muncul naib juara Kumpulan D dan akan berdepan juara Kumpulan C, Kedah pada perlawanan suku akhir yang dijadual di Stadium MP Selayang pada 15 atau 16 September ini serta di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 23 atau 24 September ini.

“Sudah tentu Kedah juga pasukan yang bagus. Kita ada tempoh seminggu untuk fokus terhadap aspek untuk tidak dibolosi gol dan pada masa sama perlu cuba untuk mencipta banyak peluang menjaringkan gol.

“Semua ini adalah mengenai keyakinan pemain. Saya percaya dalam tempoh seminggu ini saya hanya perlu meyakinkan pemain bahawa mereka mampu untuk beraksi pada tahap tertinggi.

“Lagipun kita akan bermain di tempat sendiri untuk suku akhir pertama ini dan dengan rekod baik kebangkitan pemain sebelum ini, saya percaya mereka mampu bangkit daripada kekalahan 3-1 ini untuk beraksi lebih baik berdepan Kedah nanti,” jelas Maniam.