Selain aspek kecergasan, tempoh rehat sepanjang Ramadan ini mahu digunakan sebaik mungkin oleh ketua jurulatih Selangor, P Maniam untuk para pemainnya memahami sistem formasi baharu yang ingin diterapkannya pada baki saingan musim ini iaitu sistem 4-2-3-1.

Sepanjang separuh musim 2017 ini, Maniam telah menggunakan sistem permainan 3-4-3 dan pengenalan sistem 4-2-3-1 ini dilihat sebagai alternatif untuk mempelbagaikan corak permainan Selangor yang ketika ini menghuni tangga kelima Liga Super selepas 13 perlawanan.

“Kita ada lebih kurang 20 hari untuk latihan dan perlawanan persahabatan sepanjang bulan puasa ini. Dalam tempoh tiga minggu ini, saya rasa pemain perlu fokus lebih dalam aspek kecergasan dan pada masa yang sama kita tengah buat sistem 4-2-3-1.

“Adalah penting untuk memastikan para pemain faham dengan sistem baharu ini kerana sebelum ini kita telah menggunakan sistem 3-4-3.

“Saya rasa dengan dua sistem ini, para pemain akan dapat mempersiapkan diri mereka lebih baik menjelang baki perlawanan Liga Super dan juga permulaan saingan Piala Malaysia selepas Hari Raya nanti,” kata Maniam kepada faselangor.my.

Bagaimanapun, penerapan sistem baharu itu sedikit terjejas dengan ketiadaan lima pemain utama iaitu penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan Amri Yahyah yang kini bersama skuad kebangsaan serta Syahmi Safari, K Kannan dan Adam Nor Azlin yang menyertai latihan skuad B-22 negara sepanjang Ramadan ini.

“Sudah tentu saya mahu gunakan tempoh sepanjang bulan puasa ini untuk para pemain memahami sistem 4-2-3-1 ini dengan sebaik mungkin.

“Memang terdapat sedikit kebimbangan untuk lima pemain ini dapat memahami sistem baharu ini apabila saingan bersambung selepas Hari Raya nanti.

“Tapi saya fikir pemain berpengalaman seperti Azhan dan Amri tiada masalah untuk memahami sistem ini. Cuma bagi Syahmi, Kannan dan Adam, mungkin mereka perlu diberi penerangan yang lebih sekembalinya nanti untuk mereka lebih faham dengan sistem baharu ini,” jelas Maniam.

Selangor akan menanti kunjungan T-Team untuk perlawanan ke-14 Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Julai depan disusuli aksi sulung Kumpulan D Piala Malaysia bertemu Terengganu pada 4 Julai, juga di gelanggang sendiri.